Parti-Parti Pembangkang Tanpa Kerusi Parlimen (Non-Parliamentary Opposition Parties)

Pembentukan Jawatankuasa Jurucakap Pemantau (Shadow Spokesperson)

Bagi parti-parti pembangkang yang tiada kerusi parlimen atau terjemahan dalam Bahasa Inggeris, “non-parliamentary opposition parties (NPOP)”, mereka sememangnya mempunyai banyak peranan untuk dimainkan walaupun tidak mempunyai ahli-ahli parlimen mahupun ahli-ahli dewan undangan negeri.

Di antara peranan utama yang boleh dimainkan oleh NPOP adalah, membentuk suatu jawatankuasa jurucakap pemantau memerhati portfolio kementerian kerajaan dan mengeluarkan kenyataan mengenai perjalanan pengurusan, pentadbiran dan isu-isu yang berkaitan dari masa ke semasa.

Untuk pengetahuan ramai, suatu jawatankuasa jurucakap pemantau memerhati portfolio kementerian kerajaan (shadow spokespersons) adalah hampir sama dengan bentuk sebuah kabinet bayangan, tetapi cuma sebutannya berlainan sedikit oleh kerana kedudukannya sebagai NPOP.

Pembentukan jawatankuasa jurucakap pemantau memerhati portfolio kementerian kerajaan ini membolehkan para pemimpin parti-parti tersebut belajar dan memahami seni pengurusan kerajaan melalui permerhatian, pemantuan, melakukan kajian dan penyelidikan, mengeluarkan kenyataan umum serta mengatur penyelesaiannya.

Portfolio-portfolio utama di peringkat kerajaan pusat adalah seperti kewangan, ekonomi, pertahanan, keselamatan, perumahan, pengangkutan, perdagangan antarabangsa dan industri, perhubungan luar, hal-ehwal parlimen, perundangan dan kehakiman.

Selain daripada itu, parti-parti pembangkang yang tergolong di dalam NPOP ini juga boleh membentuk jawatankuasa jurucakap pemantau di peringkat Majlis Mesyuarat Negeri (Exco Kerajaan Negeri), Dewan Bandaraya dan Majlis Perbandaran bagi memerhati perjalanan pengurusan, pentadbiran dan isu-isu berkaitan di peringkat tersebut.

Portfolio-portfolio peringkat kerajaan negeri yang boleh dipantau adalah seperti perumahan, belanjawan negeri, hal-ehwal kesihatan, hal-ehwal agama, pentadbiran tanah, pengurusan trafik dan jalanraya, sumber manusia, perdagangan dan perindustrian, pertanian dan hal-ehwal pengguna, manakala di peringkat majlis tempatan portfolio-portfolio yang boleh dipantau adalah hal-ehwal kesihatan dan kebersihan, pengairan dan saliran, pengurusan tanah, jalan dan tapak pasar, taman perumahan, persatuan penduduk, alam sekitar, pembentungan, industri kecil dan hal-ehwal pengguna.

Dan ini adalah juga salah satu kelebihan parti-parti pembangkang NPOP, di mana selain daripada memerhati dan memantau pergerakan kerajaan di peringkat pusat, mereka juga boleh berbuat demikian di peringkat kerajaan negeri dan majlis tempatan di mana kerja-kerja pemerhatian dan pemantauan di peringkat tempatan ini membolehkan mereka menjadi lebih arif mengenai apa yang sedang berlaku secara umum dan menembusi dengan lebih mendalam di peringkat akar umbi.

Jadi, parti-parti pembangkang NPOP ini tidak perlu bimbang mengenai ketiadaan kerusi atau wakil di dalam parlimen ataupun di dewan undangan negeri kerana peranan yang boleh dimainkan oleh parti-parti ini adalah banyak di peringkat akar umbi dan jika sekiranya perkara-perkara pokok yang berkait rapat dengan kehidupan dan permasalahan harian rakyat jelata dapat ditembusi dan diselesaikan, kelak parti-parti pembangkang NPOP ini akan dikenang dan dikenali ramai, seterusnya akan dipilih di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Japanese WW2 aggression in Asia: Japan should apologize