Kelemahan kawalan keselamatan dan sempadan negara wajar mendapat perhatian

Pencerobohan dan penculikan oleh kumpulan pengganas di perairan dan pantai Sabah yang berlaku berulang kali dan kini penemuan lebih seratus mayat di kawasan perkuburan yang luas di Wang Kelian, Perlis berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini telah mendapat perhatian umum mengenai tahap keberkesanan kawalan sempadan negara oleh pasukan keselamatan negara kita.

Pencerobohan, penculikan dan kini penemuan bilangan mayat yang begitu banyak jelas menunjukkan tahap kawalan sempadan negara kita adalah amat lemah sekali. Setiap kali berlakunya kejadian-kejadian seperti berikut, kerajaan pusat dan pasukan keselamatan tidak seharusnya memberikan pelbagai bentuk alasan yang remeh kononnya kawasan tersebut adalah terpencil, kekurangan anggota, ketidakcanggihan peralatan dan sebagainya.

Kesemua bentuk kekurangan tersebut tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membiarkan sempadan negara kita di dalam keadaan tidak terkawal sehinggakan berlaku pencerobohan, penculikan, kematian, penyeludupan dan pembunuhan beramai-ramai.

Apakah sebenarnya langkah-langkah yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan pusat dan pasukan keselamatan negara kita sebelum ini? Kami percaya, alasan yang mengatakan kawasan tersebut adalah terpencil, kekurangan anggota, ketidakcanggihan peralatan dan sebagainya bukanlah alasan yang sebenarnya.

Hakikatnya adalah kelemahan di dalam kepimpinan dan perancangan di dalam Majlis Keselamatan Negara dan pasukan-pasukan keselamatan yang bertanggungjawab terhadap kawalan-kawalan di sempadan dan perairan negara.

Selain daripada itu, kami juga berpendapat bahawa terdapat elemen-elemen rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam beberapa agensi-agensi yang bertugas khususnya di kawasan-kawasan sempadan dan perairan negara. Tidak kurang pula, ada juga unsur-unsur kecuaian, perlakuan “tidak apa” dan perbuatan “tutup sebelah mata” di kalangan pegawai-pegawai agensi-agensi tersebut.

Kecederaan, kematian dan pembunuhan beramai-ramai telahpun berlaku. Rakyat jelata pada umumnya telah melahirkan kebimbangan mereka sama ada tahap keselamatan di dalam negara kita akan menurun dan kadar jenayah akan naik tidak lama lagi.

Kita semua telahpun melihat dengan mata kita sendiri pembanjiran beramai-ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sudah tidak terkawal lagi. Cuba kita bayangkan apabila berlaku pembanjiran beramai-ramai golongan PATI ini, akibatnya adalah banyak dan tidak terkira, daripada masalah sosial sehinggalah peningkatan di dalam kadar jenayah.

Kerajaan pusat dan para pegawai tinggi pasukan keselamatan negara harus sedar dan insaf bahawa pengabaian, kelalaian kawalan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam agensi-agensi yang terlibat sememangnya wujud dan berleluasa di dalam semua peringkat perjawatan mereka. Dan ini adalah merupakan kebimbangan kita sebagai rakyat Malaysia.

Hakikatnya adalah, pasukan-pasukan keselamatan negara kita sememangnya mempunyai pelbagai peralatan yang canggih dan mencukupi, bilangan anggota yang begitu ramai, bantuan logistik yang mencukupi dan senjata-senjata api yang moden bagi menangani sebarang kejadian pencerobohan mahupun bersedia untuk berperang.

Kesilapan di dalam perancangan, kesilapan di dalam keutamaan, kelemahan kepimpinan (command structure) dan berkemungkinan campurtangan politik yang kerap adalah merupakan punca utama kenapa keutamaan tanggungjawab pasukan keselamatan negara kita salah pada sasarannya.

Kita ambil satu contoh bagaimana bekas timbalan perdana menteri dan bekas ketua pembangkang parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan oleh sebuah pasukan khas (komando) yang dikerah khusus daripada sebuah ibupejabat pasukan keselamatan. Persoalan di sini adalah, adakah Datuk Seri Anwar itu dikategorikan sebagai “pengganas”, “ketua mafia” ataupun seseorang yang sama tarafnya dengan “Osama bin Laden” sehinggakan satu pasukan khas “terpaksa” dikerah untuk menahan beliau?

Contoh yang kedua adalah, apabila adanya sebarang perhimpunan yang bergerak secara aman untuk membantah sesuatu dasar kerajaan yang tidak adil dan berat sebelah, kenapa pula pasukan separa-tentera dikerah untuk menyurai dan menahan orang-orang awam yang tidak bersalah ini? Apakah alasan orang-orang awam yang berhimpun secara aman ini dikategorikan sebagai “bahaya” dan “mengancam keselamatan negara”?

Contoh yang seterusnya dan paling ketara pada hari ini adalah, kenapa pula pasukan-pasukan keselamatan dikerah dengan amat pantas sekali untuk menahan para pemimpin parti-parti pembangkang, pemimpin kesatuan-kesatuan pelajar, pemimpin-pemimpin NGO hak asasi manusia, para pengkiritik awam, penulis, wartawan dan para pengendali twitter dan facebook sedangkan apa yang mereka cuba lakukan adalah untuk melahirkan ketidakpuashati mereka terhadap kerajaan dan dasar-dasarnya melalui pelbagai saluran-saluran yang sedia ada bagi memperbetulkan apajua kesilapan yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan? Itu adalah tanggungjawab mereka sebagai warganegara Malaysia pada umumnya.

Jadi, apa yang telah disebut di sini jelas menunjukkan bahawa keutamaan pasukan keselamatan negara kita ini telah tersalah di sasarannya ataupun telah “dengan sengaja” dialihkan bagi memenuhi kepentingan dan kuasa golongan elit politik yang tertentu.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Japanese WW2 aggression in Asia: Japan should apologize