CADANGAN-CADANGAN GABUNGAN KIRI MALAYSIA TERHADAP PERANCANGAN EKONOMI NEGARA DALAM RMK-11

Pengenalan

Negara kita telah berada di penghujung Rancangan Malaysia Ke-10. Rancangan Malaysia Ke-11, yang akan bermula dari 2016 sehingga 2020. Rancangan ini akan dibentangkan di Parlimen pada 21 Mei 2015. Walaupun RMK-11 akan dibentang tidak lama lagi, kami dari Gabungan Kiri Malaysia berasa penting; analisa, pandangan, syor dan cadangan kami terhadap rancangan ekonomi negara kita harus disampaikan kepada pihak Kerajaan Malaysia. Perkara ini penting kerana pada hemat kami penilaian tentang hala tuju, diskusi terhadap polisi-polisi alternatif harus dipertimbangkan. Kami juga tetap berkongsi pendapat bahawa rancangan untuk masa depan negara kita adalah satu usaha yang harus diteruskan. Walaupun begitu, oleh kerana kedudukan kita di tengah-tengah ekonomi terbuka yang semakin mencabar hari ini maka segala langkah dan rancangan sedia ada haruslah dikaji semula dari pelbagai dimensi.

Dunia kita sudah banyak berubah dalam 60 tahun yang lalu. Pada 1960an dan 1970an kaedah pembangunan ekonomi yang diterajui oleh peningkatan ekspot “export-led growth” yang dipelopori oleh Kerajaan Pulau Pinang dan setelah itu diterimapakai di seluruh Malaysia telah berjaya dalam fasa pembangunan industri telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat kita. Pendekatan ini telah meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) Malaysia daripada RM 10 bilion pada tahun 1970 ke RM 1000 bilion kini mencecah 1 trilion pada tahun 2014

Hala tuju ekonomi dunia beralih dengan keruntuhan tembok Berlin dan kuasa Soviet Union yang melahirkan situasi antarabangsa dikawal oleh kuasa koporat besar telah berlipat ganda serta pendapatan dunia semakin dipusatkan di tangan 1% kelompok terkaya. Inilah antara sebab-sebab yang bersifat fundamental yang telah membawa kelembapan dalam permintaan agregat kasar keseluruhan, yang cenderung untuk mendorong kepada kegawatan ekonomi, kewujudan kegiatan spekulasi dalam produk kewangan yang bersifat gelembung (derivatives), aktiviti dan anggaran spekulasi dan unjuran yang melampau dalam sektor hartanah.

Pihak kami berpendapat bahawa kaedah pertumbuhan yang bergantung kepada eksport (export led-growth) dan persaingan untuk mendapatkan FDI harus dinilai dan dikaji semula sekarang kerana situasi ekonomi global sudah bertukar wajahnya dan telah mengubah corak pergantungan iaitu tiada lagi jaminan daripada ekonomi yang bertunjangkan keluaran eksport. Trend kini tidak lagi menunjukkan ia bersifat lestari (sustainable) dan berkesan dalam membangunkan negara atau menangani kesan luar dari ekonomi antarabangsa.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Khazanah Research Institute, pada 2013, hanya 33% daripada jumlah Keluaran Negara Kasar (GDP) diagihkan sebagai gaji, manakala 64% menjadi keuntungan bagi sektor perniagaan dan bakinya untuk kegunaan cukai dan subsidi. Negara jiran kita, Singapura dan rakan ekonomi Malaysia di Asia seperti Korea dan Jepun kadar gaji melebihi 40% dan 50%. Begitu juga Negara-negara maju seperti Perancis, Amerika dan United Kingdoms. Negara Malaysia juga menuju ke arah sebuah Negara maju menjelang 2020 iaitu kurang dari 5 tahun dari sekarang.

Selain itu, krisis alam sekitar, perubahan iklim serta masalah peningkatan suhu dan pemanasan permukaan bumi harus diberi perhatian serius dalam setiap aspek pembangunan dan perancangan ekonomi negara kita. Satu paradigma atau suatu kerangka baru yang harus keluar daripada kerangka yang dicanang oleh “Washington Consensus” di bawah dominasi IMF dan Bank Dunia.

Demi mempertengahkan modal ekonomi dan polisi-polisi sosio-politik alternative untuk Malaysia, maka suatu gabungan ahli politik,oragnisasi dan akitivis masyarakat telah melancarkan Gabungan Kiri Malaysia (GKM) pada bulan Mac 2015 yang lalu.

Inisiatif pertama gabungan ini ialah mengemukakan alternative modal pembangunan untuk Malaysia yang akan melangkah ke Rancangan Malaysia Ke-11 ini. Justeru itu pihak kami telah mengadakan beberapa sesi diskusi dengan pelbagai organisasi masyarakat akar umbi untuk mendapatkan maklumbalas mereka terhadap pelbagai isu pembangunan sosio-ekonomi.

Yang terakhir adalah Simposium sepanjang dua hari yang telah diadakan pada 11hb dan 12hb April 2015, di mana antara lain kami menjemput sektor-sektor terpinggir masyarakat dan juga golongan berpendapatan 40% terbawah, membentangkan masalah dan harapan mereka. Memorandum ini adalah hasil pada semua sesi perbincangan ini.

Kami berharap pihak Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang mempunyai tanggungjawab secara langsung dalam perancangan pembangunan negara akan meneliti setiap syor yang kami kemukakan dalam memorandum ringkas ini. Kami juga berharap pihak EPU dapat membuka peluang untuk terus berdialog mengenai isu-isu yang kami timbulkan dalam memorandum ini demi memantapkan lagi perancangan ekonomi negara.

Cadangan dan syor untuk RMK-11

A. Dasar Ekonomi Makro

1. Pihak yang merancang ekonomi Malaysia harus menerima hakikat struktur dan kaedah yang bersandarkan “pertumbuhan yang berasaskan eksport” (export led growth) kini tidak lagi dapat menjamin pertumbuhan yang bersifat lestari. Projek meningkatkan eksport keluar barangan dan perkhidmatan ke negara lain kini semakin mencabar kerana kelembapan permintaan luar. Ini termasuk kelembapan yang terjadi pada ekonomi Amerika dan Eropah kerana berlaku perpindahan logi dan perkilangan dari negara ini ke negera China dan Vietnam. Pengangguran secara besar-besaran telah berlaku di Amerika dan Eropah yang juga telah menyebabkan permintaan agregat ekonomi mereka juga telah merosot dengan serius. Kami mencadangkan agar negara membangun seperti Malaysia dan rakan serantau berupaya mengambil tindakan secara kolektif dan sepakat bagi menjamin keseimbangan mobiliti buruh dan modal. Langkah ini bukan sahaja akan menjamin kesetabilan pertumbuhan GDP negara malah akan memperkukuhkan terus permintaan agregat negara kita dan rakan serantau.

Melalui persepakatan kolektif Malaysia boleh mengambil langkah-langkah tegas dan berkesan demi kepentingan bersama dalam jangka panjang. Ianya dapat dilakukan dengan merasionalkan persaingan untuk untuk mendapat FDI berasaskan “a race to the bottom”

Persaingan yang toksik ini harus dikawal. Bolehkah Malaysia mempelopori suatu pendekatan baru di rantau ASEAN supaya semua negara-negara ASEAN setuju untuk tidak lagi megurangkan cukai korporat, tetapi meningkatkannya 1% setiap tahun untuk 5 tahun yang akan datang? Bolehkah Malaysia membawa persetujuan di antara negara ASEAN untuk menaikkan gaji minima 10% setahun untuk 5 tahun yang akan datang? Dalam kata lain Malaysia dan negara lain di ASEAN dan juga di kumpulan G77 harus menukar daripada polisi gaji rendah bertujuan mengacukan pelaburan ke satu polisi gaji munasabah supaya memperkukuhkan permintaan kasar tempatan.

2. Persaingan yang tidak sihat dan merugikan semua pihak dalam jangka-pendek dan jangka panjang ini harus dihentikan dalam satu muafakat bersama. Negara tidak lagi harus menekan sumber mobiliti ekonomi khususnya dalam saingan bekalan buruh murah demi untuk mengekalkan FDI. Malaysia melalui muafakat serantau ASEAN supaya tidak lagi mengurangkan cukai korporat sebaliknya cukai ini ditingkatkan 1% setahun untuk satu penggal (5 tahun) yang akan datang.

Bolehkah Malaysia mewajarkan muafakat ‘faedah perbandingan” (comparative advantage) dengan tindakan mensetarakan gaji minima 10% setahun untuk 5 tahun yang akan datang? Dalam perkataan lain Malaysia dan negara lain di ASEAN dan juga di kumpulan G77 harus menukar daripada dasar gaji rendah bertujuan memacu pelaburan kepada suatu dasar gaji berpatutan atau gaji munasabah bagi memastikan pertumbuhan terjamin (sustainable domestic aggregate demand) atau pertumbuhan permintaan agregat dalam negeri.

3. Sistem percukaian harus distruktur semula untuk menjadikannya lebih progresif. Individu yang berpendapatan tinggi harus dikenakan cukai yang lebih tinggi. Untung koporat harus dikenakan cukai lebih tinggi. Transaksi kewangan juga harus dikenakan cukai seperti disyorkan oleh James Tobin. Estate duty (cukai harta pusaka) terhadap harta individu dengan asset lebih besar daripada RM 5 juta, dan capital gains tax (cukai keuntungan modal) harus diamalkan. RPGT harus dipertingkatkan lagi. Cukai regresif GST yang memiskinkan rakyat harus dimansuh agar kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan

Regim cukai seperti ini tidak boleh dilaksanakan secara sendirian oleh sesebuah negara kerana ianya boleh membawa kepada masalah “comparitive disadvantage” pada negara itu yang akhirnya menyebabkan penurunan dalam kadar pelaburan dari luar. Regim cukai progresif ini harus diterima dan diamalkan oleh negara-negara serantau dan persetujuan perdagangan boleh dipakai untuk menguatkuasakan regim cukai baru ini yang bertujuan memperkukuhkan permintaan kasar dalam negeri. (Perbelanjaan kerajaan adalah sebahagian penting dalam penentuan permintaan kasar dalam negeri). Ini amat perlu untuk mewujudkan satu pasaran antarabangsa yang cukup besar untuk memperkembangkan industri di negara untuk memperkembangkan industri di negara-negara sedang membangun.

4. Pengangguran yang berpunca daripada peningkatan daya produktif manusia.

“Technological unemployment” adalah satu konsep yang diutarakan oleh John Maynard Keynes. Keynes pernah meramal bahawa satu masa akan tiba di mana, tahap produktiviti manusia telah capai paras tinggi, segala keperluan manusia boleh dihasilkan jika semua orang hanya kerja 8 jam sehari untuk 4 hari seminggu. Tetapi dalam 32 jam kerja ini seseorang pekerja harus menerima gaji yang mencukupi untuk menjaga diri dan keluarga untuk satu minggu serta membayar segala carumannya kepada skim pencen, skim kesihatan, skim perlindungan sosial lain serta cukai. Ternyatalah gaji pekerja harus ditingkatkan untuk mencapai tahap seperti ini. (Seksyen ini ada berkaitan dengan seksyen C-1)

5. Sekuriti makanan negara (Food Security)

Pada masa ini tahap sara diri Malaysia dalam bekalan makanan adalah amat tidak terjamin.Tahap sara diri kita dalam beras adalah 70%, sayur-sayuran 70%, susu dan daging lembu 25%. Kerajaan harus mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan tahap sara diri negara kita. Sekarang, hanya lebih kurang 160,000 hektar tanah diguna untuk tanaman sayuran dan untuk ternakan lembu dan ikan. Dan sektor ini sedang terus diancam oleh perampasan tanah pertanian untuk “pembangunan” kawasan perkilangan dan perumahan. Ini menjejaskan tahap sekuriti makanan negara kita. Kerajaan kita harus menggubal suatu pelan induk yang mengandungi aspek-aspek berikut:

· kawasan tanah yang diguna untuk menanam makanan atau pun untuk menternak harus dikekalkan untuk tujuan itu;

· jika tanah diperlukan untuk projek pembangunan, kerajaan harus mengambil tanah perladangan kerana pada tahap ini adanya lebih kurang 3 juta hektar tanah perladangan1 (20 kali lebih luas daripada tanah untuk sayuran dan ternakan)

· Satu sistem subsidi pengeluaran bahan makanan harus dilaksanakan oleh kerajaan untuk menggalak sektor makanan dan juga untuk menghadkan kenaikan harga makanan asas rakyat kita.

6. Kita harus melabur lebih masa tenaga dan wang untuk membolehkan perkembangan/kewujudan keluarga bahagia dan suasana sihat (wholesome) di kalangan masyarakat tempatan bagi tujuan generasi baru dapat dibesarkan sebagai individu yang seimbang dan rasional. Dari semasa ke semasa kita dengar menteri-menteri kita menasihatkan ibu bapa menyediakan “quality time” dengan anak-anak mereka. Tetapi jika gaji begitu rendah dan kos hidup yang amat tinggi, hampir semua masa dan tenaga ibu bapa adalah untuk mencari rezeki bagi mendapatkan keperluan asas untuk keluarga mereka. Mereka tidak ada lagi masa untuk mengadakan sesi “quality time” dengan anak sendiri atau untuk menganjur aktiviti untuk kanak-kanak dan remaja di kawasan perumahan mereka?. Tekanan ekonomi yang dialami oleh B40 (lapisan masyarakat 40% termiskin) mewujudkan satu situasi yang mustahil untuk seorang ibu atau bapa di kalangan ini mendapat cukup masa mewujudkan program-program yang boleh membimbing nilai kehidupan yang baik di kalangan orang muda di kawasan mereka.

7. Kita mesti menerima hakikat bahawa ianya tidak bertanggungjawab untuk meneruskan dengan polisi mensasarkan pertumbuhan GDP sebanyak 5 hingga 7% tiap tahun tanpa kesudahannya (incessant growth of the economy). Pertumbuhan GDP mestilah diiringi dengan peningkatan pelepasan karbon dioksida yang merupakan “greenhouse gas” yang sedang menyebabkan pemanasan dunia. Sistem ekonomi sekarang yang ketagih pada pertumbuhan GDP akan menyebabkan satu malapetaka yang akan menenggelamkan tamadun manusia. Ianya perlu digantikan dengan satu sistem pembangunan yang mampan. Malaysia harus memainkan peranan dalam membentukkan kaedah pembangunan yang lebih mesra alam sekitar daripada sistem yang wujud sekarang.

B. Keperluan Asas

1. Kesihatan

a. Perkhidmatan Kesihatan bukanlah suatu komoditi untuk diperniagakan. Penyediaan kemudahan Kesihatan harus kekal sebagai tanggungjawab Kerajaan. Maka perkembangan hospital swasta harus dibekukan. Jangan benarkan hospital swasta yang baru ataupun perkembangan bilangan katil di hospital swasta yang sedia ada. Tujuan ini adalah untuk menyekat penghijrahan doktor pakar daripada sektor awam ke swasta.

b. Membina Hospital Besar kedua di semua ibu kota negeri-negeri di Malaysia kerana hospital awam yang sedia ada kini terlalu sesak dan bilangan katilnya tidak mencukupi.

c. Mansuhkan sistem fi baru untuk orang asing kerana fi tinggi sedang melambatkan pengesanan (diagnosis) dan rawatan penyakit berjangkit di kalangan pekerja asing. Kelewatan ini juga memudaratkan status kesihatan rakyat Malaysia. Umpamanya, bilangan kes baru tibi telah berlonjak dari 10,000 pada tahun 1990 ke 24,716 pada tahun 20142. Jika perlu, caj levy terhadap pekerja migran boleh ditingkatkan dan sebahagian daripada kutipan ini disalurkan ke sistem kesihatan awam untuk menampung kos merawat pesakit asing.

2. Pendidikan

a) Laksanakan program pendidikan percuma untuk semua sehingga ijazah pertama. Yuran kolej harus dicaj secara minimal sahaja. Rasionalnya subsisidi tinggi untuk pendidikan hingga peringkat ijazah pertama adalah:

i. Ini akan mengurangkan beban hutang yang ditanggung oleh orang muda. Apabila generasi muda tidak begitu tertekan dengan hutang, mereka lebih bersedia memberi masa yang lebih terhadap aktiviti kemasyarakatan dan ini akan mendorong kepada proses“memanusiakan” (humanize) masyarakat kita.

ii. Pendemokrasian pendidikan harus mementingkan perkhidmatan pendidikan berkualiti kepada rakyat terutama sekali di luar bandar, di kawasan pendalaman, di Sabah, Sarawak dan Pantai Timur. Apabila pendidikan disubsidikan masyarakat mempunyai hak moral untuk mewajibkan semua graduan melaksanakan “perkhidmatan negara” dengan berkhidmat untuk rakyat marhein terutamanya di luar bandar dan di kawasan miskin.

b) Wujudkan sistem kupon untuk memperolehi pendidikan tadika untuk kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun. Semua keluarga berpendapatan di bawah RM3000 sebulan harus di beri kupon penuh manakala keluarga dengan pendapatan bulanan antara RM3000 dan RM 5000 diberi kupon separuh.

3. Perumahan

a) Wujudkan satu Lembaga Perumahan di peringkat tiap negeri untuk membina dan membekal rumah pertama kepada semua keluarga Malaysia dengan harga berpatutan (di bawah RM 50,000 pada takat ini). Hanya satu rumah daripada skim ini untuk setiap keluarga dan sistem pemantauan nasional harus diwujudkan untuk memastikan ini. Rumah-rumah daripada skim ini hanya boleh dijual balik ke Lembaga Perumahan dan bukan pada pihak-pihak ketiga yang mempunyai modal. Keluarga yang ingin membeli rumah besar atau pun rumah kedua boleh membelinya daripada sektor swasta.

b) Kenalpasti bilangan rumah yang bertapak atas tanah kerajaan tanpa geran. Perlu diusahakan agar semua keluarga yang tinggal di atas status seperti ini harus diberi geran tanah supaya masalah ketiadapunyaan rumah kediaman yang serius seperti sekarang tidak berlarutan. Bilangan rumah tanpa geran di atas tanah persendirian (ground tenants) juga harus dikenalpasti. Kerajaan harus mengguna Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil tanah ini dan pecahkannya dan menawarkan geran kepada keluarga-keluarga yang telah menduduki rumah mereka untuk tempoh masa yang melebihi 10 tahun.

c) Undang-undang terhadap pengurusan rumah-rumah pangsa kos rendah (harga unit di bawah RM100,000) harus diubahsuai. Kerajaan-kerajaan tempatan harus dipertanggungjawabkan untuk mengambilalih kerja-kerja pengurusan dan pembersihan rumah-rumah pangsa ini. Cukai pintu yang tidak melebihi jumlah yang dikenakan atas rumah teres kos rendah harus dikutip. Yuran penyenggaraan harus dimansuhkan. Suatu peruntukan yang memadai harus disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdasarkan bilangan unit rumah pangsa murah yang dikendalikan oleh PBT itu. Kaedah menubuhkan JMB penduduk rumah pangsa harus dikekalkan kerana ini membuka ruang pada para penghuni menyampaikan maklumbalas kepada pihak yang mengurus.

d) Semua estet harus diberi satu jadual untuk melaksanakan skim perumahan pekerja untuk semua pekerja yang telah berkerja di sektor ladang untuk 10 tahun ke atas. Jadual ini harus mewajibkan tiap estet membina setiap tahun rumah kos sederhana untuk 10% daripada semua keluarga yang layak mendapat rumah di estet itu. Rumah-rumah ini harus dijual kepada keluarga yang layak dengan harga di bawah RM30,000. Jika sesebuah syarikat perladangan gagal membina rumah untuk 10% daripada keluarga yang layak dalam sesuatu tahun, kerajaan harus mengambilalih sebahagian tanah estet itu dan memberikannya kepada para pekerja sebagai lot perumahan.

4. Pengangkutan Awam

a) Kuasa mengeluarkan lesen untuk pengangkutan bas harus diturunkan kepada negeri-negeri dan PBT. Penyediaan kemudahan pengangkutan bas awam merupakan suatu aspek kemudahan yang harus diselaraskan dengan perancangan dan perkembangan sesebuah Bandaraya/Bandar tersebut. Maka PBT lah menjadi pihak yang paling sesuai untuk merancang dan memperuntukkan lesen bas mengikut kepadatan penduduk dan keperluan rakyat setempat.

b) Sistem BMT atau pun “Bus Mass Transport” harus diperkenalkan di semua bandar besar di Malaysia dengan memakai laluan bas khas supaya penghuni bandar itu tidak perlu membeli kenderaan persendirian untuk pergi ke tempat kerja atau pun ke pasar. Dana yang dapat diselamatkan daripadanya tidak membina flyover, “overhead highway” dan “ring road” boleh dipakai untuk membeli bas-bas untuk sistem pengangkutan ini, yang jauh lebih murah daripada MRT. Sistem MRT juga mengambil tempoh yang panjang untuk dilaksanakan.

C. Alam Sekitar

1. Tenaga

a) Malaysia harus berusaha untuk mengurangkan “carbon footprint” negara kita. Pada tahun 2010 pelepasan karbon dioksida kita adala 7.7 tan seorang setahun3. Ini jauh melebihi pelepasan per kapita Indonesia (1.8 tan setahun), Thailand (4.4) dan Negara Filipina (0.9)3 untuk tahun yang sama. Kita harus menggubal satu pelan induk untuk mengurangkan pelepasan per kapita karbon dioksida kita ke paras separuh dalam tempoh 10 tahun. Pelan ini harus mengandungi:

i. cadangan-cadangan spesifik untuk meningkatkan keberkesanan pemakaian kuasa elektrik (energy efficiency) di negara kita, dan

ii. sasaran-sasaran spesifik untuk menukar daripada batu arang ke sumber tenaga seperti angin, solar dan pasang-surut air laut. Pada tahun 2014, 42% daripada kuasa elektrik yang dipakai di Malaysia telah dijana oleh loji penjanaan yang mengguna batu arang, dan hanya 6% sahaja adalah daripada sumber yang tidak mengeluarkan karbon dioksida4, berbanding 49% untuk Denmark dan 65% untuk New Zealand.

b. Oleh kerana sumber bahanapi minyak/arang batu sedia ada adan mudajh didapati, maka Kerajaan kurang serius untuk melabur dalam bidang sumber tenaga kitar semula (renewable energy source). Usaha untuk memperkembangkan kapasiti negara menghasilkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui harus dianggap sebagai tanggungjawab kerajaan dan bukan sesuatu yang boleh diserah pada pihak swasta dengan pengwujudan insentif-insentif kewangan. Kita memerlukan perubahan daripada batu arang ke sumber seperti solar, angin dalam skala yang besar.

c. Negara Malaysia harus membatalkan segala rancangan untuk membuka logi penjanaan elektrik daripada kuasa nuklear kerana kosnya tinggi, risiko-risiko yang berkaitan dengan logi nuklear ada juga tinggi dan masalah pengendalian sisa-sisa radioaktif yang akan terus kekal sifat radioaktifnya untuk beribu-ribu tahun.

2. Perhutanan

Hutan-hutan kita sedang ditebang dengan satu kadar yang mengkhuatirkan. Pada tahun 2010 hingga 2012, 100,000 hektar hutan telah dibalak setiap tahun di Semenanjung Malaysia5. Hutan-hutan asli memainkan beberapa peranan yang penting, antaranya:

· Kawasan hutan hujan adalah penyimpan kepelbagaian alam sekitar atau pun “biodiversity” yang amat penting untuk masa depan masyarakat kita.

· Hutan-hutan juga main peranan penting sebagai “carbon sink”. Mereka menarik karbon dioksida daripada udara dan menukarkannya kepada oksigen;

· Hutan-hutan juga merupakan kawasan tadahan air untuk sungai-sungai kita;

· Binatang-binatang liar, unggas dan lain-lain hidupan yang berteduh di bawah kawasan ekosistem berhutan bergantung kepada persekitaran ini untuk terus hidup dan berlindung.

Memandangkan keluasan hutan simpanan kekal di Malaysia adalah hanya 12.7 juta hektar pada Disember 20146, kami mengesyorkan:

a) Kita harus mengurangkan kadar pembalakan kita ke 20% kadar yang wujud sekarang dalam jangka masa 5 tahun akan datang. Satu pelan induk harus disediakan untuk mencapai matlamat ini.

b) Oleh kerana pembalakan merupakan satu punca utama pendapatan negeri-negeri, Kerajaan Persekutuan harus membayar setiap negeri “kredit hutan” setiap tahun berdasarkan pada keluasan hutan yang masih ada di negeri itu7. Dengan itu, sesebuah negeri dapat pendapatan daripada sumber hutannya tanpa memusnahkan sumber itu.

c) Kawasan yang sudah pun dibalak sebelum ini harus ditanam semula dengan pokok balak supaya dalam dua puloh tahun lagi kita boleh dapat balak daripada ladang-ladang balak ini. Program ini juga harus menerima sokongan kewangan Kerajaan Persekutuan dan harus dipantau rapi untuk memastikan kerja-kerja mewujudkan ladang balak berlaku seperti dirancangkan.

3. Sisa pembuangan

a) Pada tahun 2012, sebanyak 33,000 tan sisa pepejal dihasilkan oleh penduduk Malaysia setiap hari8. Kerajaan harus mengambil inisiatif berkerjasama dengan NGO untuk mewujudkan satu budaya guna semula dan kitar semula (re-use dan recycle). Ini juga harus dijadikan sebahagian daripada sukatan pelajaran di sekolah-sekolah kita.

b) Penggunaan styrofom harus diharamkan dan penggunaan plastic disekat.

c) Sisa buangan rumah tangga (household waste) harus diasingkan di peringkat rumah (separation at source) supaya kerja-kerja berkitar semula dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

d) Pemantauan harus ditingkatkan terhadap pencemaran sungai oleh kilang-kilang dan industri penternakan dan cara-cara saintifik untuk mengendalikannya harus dikongsi dengan pengusaha (dan bukan dijadikan satu lagi perniagaan untuk mengaut untung).

4. Masalah Jerebu

Ini merupakan masalah alam sekitar yang sering melanda Malaysia dan ia membawa banyak kesan negatif terhadap kesihatan rakyat kita. Masalah jerubu berpunca daripada kebakaran lapisan gambut di Kalimantan dan Sumatra Selatan yang telah menjadi terlalu kering akibat usaha kerajaan dan aktiviti syarikat pembalakan menggali beribu-ribu batu longkang untuk mengeluarkan air daripada kawasan paya. Cara mengatasinya adalah untuk membina beberapa ampangan supaya paras air dalam tanah tidak turun ke paras yang terlalu rendah. Kerajaan kita harus berkerjasama dengan Kerajaan Indonesia untuk melaksanakan projek-projek membina ampangan-ampangan kecil di sepanjang sungai dan parit yang telah digali.

5. Kajian EIA

a) Pada masa ini pemaju memilih dan membayar syarikat yang melaksanakan EIA atau pun penyelidikan terhadap kesan projek pembangunan yang dicadangkan pada alam sekitar. Kaedah ini harus ditukar ke suatu di mana pemilihan syarikat EIA dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Alam Sekitar dengan bayaran yang dikutip daripada pihak pemaju projek. Ini akan menghasilkan laporan EIA yang lebih objektif.

b) Projek-projek tidak boleh diberi lesen sementara untuk bermula sebelum Laporan EIA diteliti oleh pihak kerajaan dan juga rakyat tempatan.

c) Laporan EIA harus dianggap sebagai satu dokumen awam yang boleh diakses secara penuh oleh rakyat biasa dan NGO supaya orang ramai boleh mengambil bahagian dalam penilaian projek-projek yang dicadangkan.

D. Isu-Isu Pekerja

Pada masa ini adanya 6.5 juta orang yang mencarum tiap bulan ke KWSP. Mereka merupakan pekerja tempatan di sector swasta yang formal. Selain daripada mereka kumpulan-kumpulan rakyat Malaysia yang sedang berkerja (tetapi tanpa mencarum KWSP) adalah:

- Pekerja swasta tempatan yang tidak bercarum pada KWSP - 1.5 juta orang

- Kakitangan kerajaan - 1.4 juta

- Petani, nelayan, pesawah, pekebun, penternak – 1.5 juta

- Penjaja dan peniaga kecil - 1 juta

1. Meningkatkan gaji minima ke RM1500 sebulan. Jika perlu, bantu syarikat-syarikat yang kecil dengan mengenakan kadar caj elektrik yang rendah, mengurangkan kadar cukai terhadap mereka dan sebagainya. Kenaikan gaji minima akan memacu permintaan kasar di dalam negeri dan ini akan membantu perniaga kecil juga sektor perkilangan. Syor A1 hingga A4 harus dibaca bersama syor ini.

2. Gaji yang sama antara lelaki dan wanita untuk jawatan yang sama dan elakkan diskriminasi dalam kenaikan pangkat kakitangan wanita. Gaji minima yang sama juga harus diberikan kepada pekerja di Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak.

3. Kaedah kontraktor buruh (labour contractor) di mana seorang kontraktor melaksanakan persetujuan dengan sesebuah kilang untuk menjual tenaga kerja pada kilang/majikan itu harus diharamkan. Ini adalah kerana kaedah ini tidak memberi perlindungan yang mencukupi pada para pekerja. Kilang-kilang besar mengamal cara ini untuk mengelak daripada tanggungjawab mereka terhadap pekerja.

4. Kaedah outsourcing yang sedang di pakai oleh jabatan-jabatan kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan harus dihentikan kerana kaedah ini merugikan pekerja kontrak yang terlibat. Sebelum ini, seorang “cleaner” di hospital kerajaan mempunyai sekuriti berkerja, dapat kenaikan gaji tahunan, ada peluang dapat pinjaman perumahan dan juga kemudahan pencen kerana pada masa itu semua pekerja cleaner di hospital adalah kakitangan kerajaan. Sekarang mereka sudah dijadikan kakitangan sub-kontraktor yang membekalkan perkhidmatan membersihkan hospital. Semua kemudahan yang disenaraikan di atas telah dimansuhkan dan ini menyusahkan mereka.

5. Wujudkan dana pemberhentian kerja ataupun “retrenchment fund” daripada caruman majikan, pekerja dan kerajaan untuk membayar pampasan pada para pekerja yang kehilangan kerja akibat kemuflisan syarikat.

6. Mewajibkan penubuhan kesatuan pekerja di tiap tempat kerja untuk menjaga hak dan kepentingan pekerja. Undang-undang yang sekarang merupakan halangan pada aktiviti kesatuan pekerja harus diganti dengan undang-undang yang memudahkan proses menubuhkan kesatuan pekerja.

7. Menyediakan pusat jagaan kanak-kanak yang selamat dengan kos yang munasabah supaya ibu-bapa boleh keluar rumah untuk berkerja.

8. Pekerja migran merangkumi 30% daripada kuasa buruh di negara kita dan angka ini sedang meningkat. Golongan ini harus dimainstream dan dijamin semua hak di bawah undang2 kerja, serta semua hak asasi manusia termasuk hak untuk pembelaan. Penindasan kaum pekerja migran mewujudkan situasi di tempat kerja di mana pekerja tempatan juga ditekan dan dinafikan hak mereka.

Untuk mengelak dari dan mengatasi masalah pemerdagangan dan penyeludupan migran semua procurement pekerja migran harus dilakukan melalui kerajaan ke kerajaan (G to G) tanpa melibatkan agen.

E. Golongan Berpendapatan Rendah

1. Garis Kemiskinan

Kerajaan harus mengkaji semula konsep garis kemiskinan. Adakah RM 800 sebulan mencukupi untuk sebuah keluarga dengan 3 orang anak? Apakah pendapatan minima yang perlu untuk menyewa rumah, membayar bas sekolah, membayar fi kelas tadika dan sebagainya. Tadika dan fi bas sekolah bukan perbelanjaan mewah. Sesebuah keluarga yang tidak boleh membekalkan keperluan asas pada anak-anaknya harus ditafsir sebagai miskin. Kajian semula ini adalah penting untuk kita melihat garis kemiskinan yang realistic supaya kita dapat mengira bilangan rakyat yang benar-benar miskin dan memerlukan bantuan kerajaan.

Gabungan Kiri Malaysia (GKM) ingin mengesyorkan kaedah di negara Eropah diterimapakai di Malaysia – di mana, garis kemiskinan adalah 60% daripada pendapatan isirumah median (pertengahan). Di Malaysia 60% pada pendapatan isi rumah median11 adalah RM2500 sebulan pada takat ini. Ini harus diambil sebagai garis kemiskinan, dan ini bererti bahawa lebih kurang 25% daripada keluarga di negara kita harus ditafsir sebagai “miskin” dalam ertikata mereka ini tidak dapat membekalkan keperluan asas pada ahli keluarga mereka. Jika mereka tidak menerima bantuan yang mencukupi, maka penyambungan kemiskinan dari satu generasi ke generasi baru akan berterusan (inter-generational transmission of poverty).

2. Pesawah padi

a) Para pesawah (yang kini berjumlah 400,000 orang) perlu diiktirafkan sebagai ‘pegawai bekalan makanan asasi negara’ – pengiktirafan ini harus memberi perlindungan kepada para pesawah dalam bentuk pencen bulanan selepas pesawah itu mencapai umur 60 tahun (untuk pesawah-pesawah yang telah melibatkan diri dalam penanaman padi untuk 15 tahun ke atas). Ini adalah antara langkah yang harus diambil untuk menjamin pengeluaran beras yang mencukupi untuk rakyat Malaysia. Jaminan beras 100% sara diri adalah penting untuk keselamatan pemakanan negara (food security). Kini kita hanya mencapai tahap sara diri 70% untuk keperluan beras kita.

b) Para pesawah harus diberikan subsidi dan bantuan yang secukupnya. Semua badan kerajaan harus bekerjasama dengan para pesawah dan memastikan bahawa bantuan yang sewajarnya diberikan. Proses-proses sebagai pemberian subsidi, peralatan seperti jentera pembajak, baja, racun, dan sebagainya harus sampai ke sasaran dan ini boleh dijamin melalui penglibatan persatuan pesawah dalam pemantauan pelaksanaannya supaya ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dapat dibendung.

c) Hakikatnya bahawa harga lantai untuk padi tidak dapat ditingkatkan ke paras yang dapat membasmikan kemiskinan di kalangan pesawah harus diambilkira oleh kerajaan dan masyarakat Malaysia. (Kerana peningkatan harga lantai akan menjejas mereka yang berpendapatan rendah disektor-sektor lain - beras adalah satu keperluan asas.) Oleh ini, kerajaan mesti menawar subsidi dalam bentuk wang tunai tiap bulan kepada semua pesawah padi untuk menjamin pendapatan mereka tidak berada di bawah RM 1500 sebulan pada masa sekarang.

d) Penswastaan Lembaga Padi dan Beras Negara harus dikaji semula untuk memastikan “subsidi” untuk industri bekalan beras tidak disalurkan kepada saku syarikat gergasi yang mempunyai perhubungan baik dengan pihak mentadbir.

e) Kerajaan harus memastikan dan menjamin kebajikan anak-anak pesawah terutamanya dalam bidang pendidikan. Mereka harus diberi bantuan seperti biasiswa untuk menyambung pelajaran mereka. Pelajaran juga harus merangkumi bidang teknikal untuk pertanian.

3. Pekebun getah kecil

a) Kebanyakan daripada 440,000 pekebun kecil getah mempunyai kebun-kebun getah dengan keluasan di bawah 5 ekar. Pendapatan mereka daripada jualan getah tidak mencukupi terutama sekali apabila harga pasaran getah SMR 20 jatuh ke bawah RM 6 se kg.

b) Skim “Insentif Pengeluaran Getah12 yang membayar subsidi wang tunai 30 sen se kg getah beku (cup lumps) kepada pekebun kecil getah jika harga getah beku jatuh ke bawah 1.75 se kg di tempat pengutipan getah beku (ataupun harga SMR 20 jatuh ke bawah RM 4.60 se kg) adalah satu langkah yang baik dan harus dikekalkan. Bayaran ini harus dibahagikan antara penoreh dan pemilik tanah di kes-kes dimana mereka bukan individu yang sama.

c) Terdapat ramai pekebun getah yang sedia bertukar sebahagian daripada tanah mereka kepada dusun buah-buahan, tetapi risau tidak akan dapat pasaran yang stabil untuk buah-buahan yang dikeluarkannya. Agensi kerajaan harus melaksanakan kontrak untuk membeli buah-buahan tertentu dengan satu harga yang berpatutan untuk tempoh masa beberapa tahun dengan mewujudkan sistem pemasaran produk tani yang lebih cekap di bawah agensi sedia ada.

Kerelaan kerajaan membeli buah-buahan keluaran mereka akan menggalak beberapa pekebun menukar daripada tanaman getah. Agensi kerajaan harus mencari pasaran yang lebih luas untuk buah-buahan tempatan dengan mempelopori cara-cara untuk mengtinkannya ataupun untuk jadikannya jus buahan yang dapat dibotolkan dan sebagainya. Mereka juga boleh meningkatkan R&D tani dan mewujudkan kilang-kilang bersaiz kecil untuk memproses buah-buahan dan hasil tani di setiap kawasan yang berpotensi.

d) Hasil penternakan kambing dan ikan mempunyai permintaan yang lebih stabil kerana tahap sara diri dalam bahan makanan ini masih rendah. Tetapi penternakan memerlukan kemahiran yang spesifik dan juga modal untuk sediakan kolam ikan atau pun kandang kambing. Agensi kerajaan yang berkenaan harus menawar pinjaman dengan kadar membayar balik yang senang untuk para pekebun getah yang rela cuba menceburi diri dalam usaha penternakan.

e) Kekurangan peluang untuk berkerja adalah satu masalah besar di kawasan desa. Kerajaan juga boleh memberi insentif pada para pengkilang untuk mewujudkan kilang di kawasan-kawasan desa supaya buka ruang untuk berkerja.

4. Pekebun sayur / Penternak

a) Para pekebun sayur dan penternak yang mengusahakan tanah kerajaan secara bergenerasi(lebih kurang 300,000 orang pada takat ini)seharusnya diberi pengiktirafan dalam bentuk geran ataupun lease tempoh panjang terhadap tanah yang mereka sedang mengusahakan. (Kini hampir 80% daripada sayur-sayuran yang dikeluarkan oleh petani kita adalah dari kebun di atas tanah kerajaan yang terbiar.)

b) Memandangkan tahap sara diri dalam sayur-sayuran hanya 70% pada setakat ini, Kerajaan negeri harus berbincang dengan para petani/penternak jika bercadang memberi milik tanah yang dicucuk tanam oleh petani kepada sesiapa pihak ketiga dan tanah ganti yang sesuai untuk pertanian dan penternakan serta pampasan yang mencukupi untuk membangunkan tanah baru ini harus ditawarkan pada para petani.

c) Untuk memastikan jaminan makanan (food security) di peringkat kebangsaan pihak Kerajaan harus memberikan bantuan seperti kewangan, peralatan dan teknologi terkini.

d) Petani/Penternak juga perlu diberi latihan secara berterusan supaya mereka dapat memanafaatkan teknologi dan pertanian moden. Antaranya adalah untuk mewujudkan satu sistem pemantauan serta perkongsian data di website tiap wilayah mengenai bilangan ekar yang ditanami tiap satu sayur supaya lambakan sesuatu sayur dielakkan dan untuk membolehkan petani sayuran di wilayah itu membuat keputusan yang terbaik mengenai jenis sayuran yang mereka tanam pada tahap itu. Sistem ini harus dikendalikan oleh persatuan petani/pekebun di wilayah itu.

e) Sebahagian daripada tanah yang sedang dipakai untuk tanaman kelapa sawit dan getah harus dipindahpakai untuk pengeluaran makanan untuk rakyat kita supaya tahap sara diri negara kita dapat ditingkatkan.

5. Orang Asli/Asal

a) Iktirafkan tanah adat Orang Asli/Asal dan memberikan mereka geran komuniti terhadap tanah tersebut. Geran tanah berindividu membawa risiko tinggi tanah yang diberi pada orang asli akan dipindah milik kepada orang lain apabila individu orang asli itu menghadapi kecemasan kewangan atau pun ditipu oleh pihak lain.

b) Hentikan segala pengambilan tanah orang Asli/Asal secara paksa. Amalkan prinsip free, prior, informed consent (FRIC) dan memastikan rundingan dilakukan dengan masyarakat Orang Asli dalam situasi di mana tanah mereka perlu diambil untuk kepentingan masyarakat awam.

c) Sekiranya tanah Orang Asli/Asal diambil dengan persetujuan mereka, mereka harus diberikan tanah ganti yang sama tarafnya dengan tanah asal mereka dan pampasan yang adil.

d) Kanak-kanak Orang Asli/Asal harus diberikan pendidikan yang berkualiti termasuk sukatan pelajaran yang memberi kepentingan kepada bahasa dan budaya orang Asli/Asal. Pengangkutan yang selamat ke dan dari sekolah juga harus disediakan.

e) Kuasa memilih dan melucut ketua kampong (Batin) sekarang dipegang oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan ini telah melenyapkan suara komuniti Orang Asli. Kuasa ini mesti dikembalikan kepada masyarakat Orang Asli supaya batin-batin (ketua) dapat menyuarakan masalah komuniti mereka tanpa rasa bimbang akan dilucut oleh kerana mengkritik tindakan JAKOA atau polisi Kerajaaan.

f) Pada masa ini beribu-ribu ekar tanah di kawasan Orang Asli telah dibangunkan oleh kerajaan sebagai ladang. Malangnya pihak yang menikmati keuntungan terbesar bukannya kaum Orang Asli tempatan tetapi kumpulan kontraktor yang menguruskan projek-projek ladang ini. Satu jadual harus ditetapkan untuk memindahkan pengurusan ladang-ladang ini kepada Orang Asli tempatan dan langkah-langkah proaktif harus diambil untuk mewujudkan kapasiti pengurusan dan pemantauan secara demokratik di kalangan masyarakat Orang Asli supaya keuntungan projek ini dapat dinikmati oleh lebih ramai keluarga Orang Asli..

6. Ibu Tunggal

a) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat harus menyediakan satu databaseterhadap 830,000 ibu tunggal14 yang berada di Malaysia pada takat ini untuk menguruskan program yang sesuai bagi mereka.

b) Untuk mengurangkan penyambungan kemiskinan dari satu generasi ke generasi baru, ibu-ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM1500 dengan anak di bawah 18 tahun, harus diberi bantuan perumahan, pemakanan dan penjagaan kanak-kanak (baucer tadika dan baucer pusat jagaan kanak-kanak) melalui sistem baucer.

c) Perkhidmatan pengangkutan percuma dengan penggunaan pas (seperti untuk pelajar) untuk ibu-tunggal yang mempunyai anak-anak di bawah 18 tahun.

d) Kementerian Pembangunan Wanita, Kerajaan2 Negeri dan juga Kerajaan Tempatan harus memperolehi sebahagian daripada unit-unit perumahan kos rendah di kawasan-kawasan mereka untuk disewa dengan kadar yang rendah kepada keluarga ibu tunggal yang menghadapi masalah kewangan.

e) Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu menguruskan pegawai kaunselor untuk melawat ke rumah ibu-ibu tunggal untuk mengambil tahu masalah yang dihadapi dan memberikan kaunseling kepada mereka.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Japanese WW2 aggression in Asia: Japan should apologize