Kenapa pula rakyat harus menanggung akibat kerajaan tak berkesan?

Oleh Viktor Wong, bm.theantdaily.com
Selepas harga minyak dinaikkan Barisan Nasional (BN), harga barangan lain dijangka turut melonjak pada permulaan 2014. Jika pemimpin BN menafikannya, kita tahu mereka tidak bercakap benar.
Rakyat tertekan dengan keadaan yang bakal mendatang. Setiap hari kita memikul beban kenaikan harga barangan. Bekalan makanan dan keperluan harian juga tidak terkecuali daripada kenaikan ini. Inflasi nampaknya kian menghampiri rakyat Malaysia.
Ketika BN melaksanakan potongan subsidi bagi barangan keperluan harian, perbelanjaan Putrajaya menunjukkan peningkatan. Ini tidak mungkin berlaku secara tiba-tiba.
Setelah berdekad berbelanja, menyalahguna kuasa dan menyeleweng, negara kita kini menuju ke arah bahaya. Rakyat miskin akan bertambah miskin, golongan pertengahan akan merasa keperitan, manakala pemimpin BN dan kroni mereka berterusan memonopoli kekayaan negara.
Bukan rahsia lagi bahawa pemimpin BN tidak menghiraukan keluhan rakyat yang menuntut rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dihentikan.
Akhirnya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamad mengumumkan bahawa kerajaan terpaksa melaksanakan potongan subsidi. Salah siapa agaknya? Kenapa pula rakyat yang harus menanggung akibatnya? Apa perlunya rakyat merana apabila korupsi dan penyelewengan dilakukan pimpinan Barisan?
Kerajaan BN hanya cekap menaikkan serta memperkenalkan cukai disamping memotong subsidi kepada rakyat. Mereka tidak pernah memotong perbelanjaan sendiri sehingga menyebabkan defisit belanjawan. Akhirnya, mereka mencetak lebih banyak nota (wang) kertas bagi menutup kegagalan mereka.
Lihat sahaja perbelanjaan kerajaan. Pertama, ia tidak dilaksanakan dengan berkesan, dan tertumpu membangunkan projek tanpa pulangan. Contohnya. Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan Klia2 yang mana kegagalan menyiapkannya membawa kepada lebih banyak kerugian.
Wang rakyat juga digunakan bagi membiayai perunding dari luar negara, majlis-majlis keraian serta projek gajah putih yang menelan belanja besar, namun tidak membawa kepentingan bagi rakyat biasa. Tentunya semua ini pembaziran semata-mata.
Jika kerajaan BN benar-benar serius memikirkan keluh kesah rakyat jelata, sewajarnya mereka dicabar melaksanakan perkara-perkara berikut:
1)      Berjimat di dalam perbelanjaannya sendiri;
2)     Melaksanakan sistem tender terbuka bagi projek-projek kerajaan;
3)     Mengecilkan jumlah kakitangan kerajaan yang terlalu besar;
4)     Menswastakan kemudahan dan perkhidmatan kerajaan dan menggalakkan peningkatan mutu kerja;
5)     Mengurangkan jumlah menteri serta kementerian agar tiada yang bertindan; dan
6)     Melaksanakan sistem pasaran terbuka dan menekankan polisi berdasarkan prestasi
Serta banyak lagi langkah yang difikirkan perlu
Namun, ketika laporan ketua audit negara menyebut tentang pembaziran, penyalahgunaan kuasa serta rasuah, mengapa tidak kerajaan BN melaksanakan prosedur operasi mengikut piawaian agar menghalang perkara sebegitu berlaku lagi?
Sekiranya kerajaan sendiri gagal menangani perkara-perkara negatif di dalam pentadbirannya, mengapa harus rakyat dibebani masalah yang tercetus akibat kelemahan di pihak kerajaan?
Saya fikir kerajaan ini mempunyai pilihan. Namun ia memilih bagi melindungi serta memanjakan ahli politik, pemimpin parti, kroni serta kakitangan awam yang tidak berkesan dan gagal di dalam tugas mereka. Sewajarnya kerajaan menitikberatkan pembayar cukai atau rakyatnya.
Kerajaan telah ini memilih membelanjakan wang berjuta bagi penggunaan elektrik, menaiki jet persendirian, menambah pendapatan sendiri sambil bertempik memperjuangkan hak-hak Bumiputera.
Wajarkah rakyat dibebani akibat tindakan kerajaan seperti ini? Mengapa perlu kita bersusah payah akibat kegagalannya mentadbir negara?
Setiap daripada kita berhak menggulingkan kerajaan yang gagal seperti ini. Ianya termaktub di dalam Perlembagaan.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Japanese WW2 aggression in Asia: Japan should apologize