Bagaimana Umno menutup penipuan
Oleh Viktor Wong, bm.theantdaily.com
Seperti dijangka, seorang lagi bekas pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dibebaskan dari dakwaan penipuan, rasuah serta penyalahgunaan kuasa bagi skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Terlalu ramai yang telah dibebaskan, dan banyak juga kes yang tidak dibawa ke muka pengadilan akibat kekurangan bahan bukti dari pihak pendakwa raya. Apa sudah jadi dengan Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM), dan pihak polis? Adakah mereka memainkan peranan?
Negara telah kehilangan berbilion ringgit wang rakyat kerana penipuan, namun sehingga hari ini, kita tidak dapat lihat pesalah sebenar dibicarakan serta dijatuhi hukuman.
Malah, yang memainkan peranan besar di dalam melakukan kesalahan diberi jawatan sebagai wakil Malaysia ke peringkat antarabangsa bagi menarik pelaburan asing.
Bagi yang berjawatan rendah, mereka mungkin tidak bernasib baik jika diheret ke mahkamah. Tetapi, logikkah pegawai berpangkat rendah mampu melakukan penipuan bernilai berbilion ringgit?
Mereka sebenarnya hanya kambing hitam yang diberi arahan pemimpin atasan. Mereka jelas tidak mempunyai pengaruh bagi merompak berbilion ringgit dari kerajaan.
Apakah alasan Pejabat Peguam Negara, SPRM serta polis yang gagal membawa mereka ke muka pengadilan? Mengapa mereka gagal mengumpul bukti bagi mengelakkan perompakan ke atas hasil negara berlaku lagi? Benarkan mereka telah menjalankan amanah mereka dengan sebaik mungkin, disertai dengan intergriti?
Rakyat ternyata kecewa dengan semua ini. Janji Perdana Menteri hendak menangani korupsi langsung tidak ditepati. Kata-katanya kosong tanpa tindakan selari.
Yang paling menyedihkan kini, kerajaan BN memainkan sentimen perkauman serta keagamaan bagi menutup pandangan rakyat terhadap segala penipuan. Langkah menangani korupsi dan penyelewengan diketepikan di kala Umno mendakwa hak-hak Melayu berdepan ancaman.
Selain itu, rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barangan akibat potongan subsidi sedangkan kerajaan bertanggungjawab terhadap kerugian negara.
Beginikah caranya pemimpin BN mentadbir Malaysia? Ahli parlimennya tidak serius ketika bersidang dengan menghamburkan kenyataan berbaur diskriminasi serta kata-kata kesat terhadap pembangkang. Tindakan mereka langsung tidak produktif buat negara.
Mereka lebih mementingkan diri sendiri dari menjalankan tanggungjawab kepada rakyat jelata. Mereka mahu memastikan kekayaan mereka terjamin, mereka mahu berkongsi dengan kroni serta meletakkan pihak pihak tertentu di bawah telunjuk mereka. Apabila dilihat berbuat salah, mereka pantas mencari isu-isu perkauman serta keagamaan bagi mengaburi pandangan.
Pejabat Peguam Negara, SPRM serta Polis, untuk siapa kamu bekerja? Adakah kamu bekerja untuk negara? Adakah kamu bertugas untuk rakyat?
Sekiranya kamu berkhidmat untuk negara, mengapa korupsi, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berleluasa? Mengapa kadar jenayah meningkat sehingga rakyat memerlukan perkhidmatan syarikat keselamatan persendirian bagi menjaga kejiranan? Malah syarikat-syarikat perniagaan lebih gemar menggaji penyiasat persendirian daripada mengharapkan SPRM serta pihak polis melakukan penyiasatan.
Rakyat juga tidak mengharapkan keadilan dari pihak berkuasa kerana tahu mereka hanya alat parti pemerintah negara. Mereka menjaga kepentingan pihak tertentu sahaja dan bukan rakyat jelata.
Jadi beginilah BN mengekalkan kuasa, dengan menutup penipuannya. Negara bergerak ke arah kemelesetan dan rakyat semakin terbeban. Perlukan rakyat menghargai kerajaan?