Maksud Kebebasan Bersuara

Oleh WH Cheng, Aliran.com 24/2/2015

Apakah yang dikatakan kebebasan bersuara? Ramai yang tertanya-tanya, di manakah hadnya, adakah ianya tidak ada had dan adakah kebebasan bersuara ini hanya hak eksklusif golongan-golongan yang tertentu sahaja?

Ya, ramai di antara kita memahami apa yang tersirat, tetapi pada hari ini, kita semua semakin dihantui dengan ketidakadilan di dalam keadaan yang tidak menentu sekarang.

Di dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, ianya menyebut kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan adalah hak setiap rakyat di negara ini.

Ianya juga memperuntukan sekatan, kawalan dan undang-undang tertentu bagi menghadkan kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan – tetapi apakah itu hadnya ataupun senarai-senarai yang terlarang langsung tidak termaktub di dalam mana-mana undang-undang yang sedia ada.

Persoalannya, adakah kandungan-kandungan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan itu bertentangan di antara satu sama lain? Ataupun kandungan manakah yang mengatasi kandungan yang seterusnya, sama ada sebelum atau selepas dan bagaimana interpretasi tersebut akan dibuat untuk menghalalkan tindakan pihak-pihak yang bertentangan pendapat?

Jika kita menelitinya daripada sudut kepentingan sejagat ataupun ‘universal interests’, kebebasan bersuara ini adalah suatu tindakan yang positif. Ia menggalakkan orang ramai berfikir, bertanya, menyoal, meluahkan atau bertukar pendapat, berdebat, menegur, mengkritik dan sebagainya untuk kefahaman dan kebaikan orang ramai, pihak-pihak yang terlibat dan juga kepentingan negara.

Akan tetapi, pada mata kaca pihak pemerintah, kebebasan bersuara, berkumpul dan berpersatuan itu perlu dihadkan pergerakannya kerana bimbang ianya akan menggugat kedudukan dan kuasa pemerintah. Lantas daripada itu, segala bentuk pemikiran, persoalan, pendapat, perdebatan, pemahaman, teguran, kritikan dan sebagainya perlu dikawal agar ianya tidak mempengaruhi orang ramai dan idea-idea tersebut tidak akan berkembang.

Kekeliruan daripada segi interpretasi undang-undang dan tindakan pihak pemerintah jelas dapat dilihat pada hari ini apabila mengkritik, menegur dan mempersoal jabatan-jabatan atau agensi kerajaan telah dianggap sebagai suatu “penghinaan terhadap bangsa dan agama”.

Daripada konteks apakah, kritikan, teguran dan persoalan tersebut dapat dilihat sebagai suatu penghinaan terhadap bangsa dan agama? Sehingga pada hari ini, pihak pemerintah masih gagal mengemukakan definasi tindakannya yang dianggap tidak seimbang.

Selain daripada itu, kritikan, teguran, persoalan dan pendapat mengenai prestasi seseorang pegawai kanan kerajaan kini juga telah disalah tafsir oleh pihak pemerintah sebagai suatu ancaman, percubaan untuk menjatuhkan maruah ataupun imej pegawai tersebut dan berniat untuk menghina keperibadian pegawai tersebut.

Tetapi, sehingga pada hari ini juga, pihak pemerintah masih membisu mengenai apakah definasi sebenarnya penghinaan dan ancaman yang dimaksudkan.

Yang amat menyedihkan dan mendukacitakan di sini adalah, apabila golongan-golongan pelampau perkauman dan agama yang menluahkan ancaman, seruan dan tindakan mereka yang boleh mengancam kestabilan dan keharmonian antara kaum dan rakyat di negara ini, pihak pemerintah sering memilih untuk tidak mengendahkan perbuatan-perbuatan mereka. Sebaliknya pihak pemerintah menerima perbuatan mereka sebagai suatu “hak kebebasan bersuara” seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penulisan dan pendapat seseorang pakar undang-undang mengenai tindakan dan cara sistem perkerajaan dan peralihan kuasa tersebut dilaksanakan … apakah kandungan yang boleh dikatakan salah dan menghasut?

Pendapat seseorang pengamal atau pakar undang-undang mengenai keputusan kehakiman sesuatu perbicaraan yang sedang dan telah dijalankan … di manakah kandungan yang dikatakan salah dan menghasut?

Bertukar pendapat dan inisiatif untuk membuahkan kefahaman orang ramai mengenai sistem pemerintahan dan definasi Perlembagaan Persekutuan … perbualan dan sebutan manakah yang dikatakan salah dan menghasut?

Menegur dan menyeru sesebuah jabatan atau agensi kerajaan agar ia memperbetulkan keadaan dan tindakan terhadap rakyat … daripada sudut manakah kenyataan ini boleh dianggap sebagai penghinaan, ancaman dan hasutan?

Mengkritik dan menegur prestasi seseorang penjawat awam atau pegawai kerajaan … bagaimana kenyataan tersebut dapat dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap maruah dan keperibadian seseorang penjawat awam atau pegawai tersebut?

Sehingga pada hari ini, pihak pemerintah masih gagal mengemukakan senarai-senarai mengenai kenyataan, perbualan, perbincangan dan pendapat yang terlarang di mana rakyat jelata perlu mematuhi kaedah-kaedah tersebut. Sebaliknya, pihak pemerintah hanya melaksanakan pendakwaan terpilih terhadap orang-orang yang tertentu yang kurang atau enggan difahami dan tidak disukai.

Golongan-golongan pelampau perkauman dan agama, malah ada daripada kalangan pihak pemerintah itu sendiri yang sempit, kurang berakal dan tidak rasional, kini masih bergerak bebas, terus menerus meluahkan kenyataan dan melancarkan tindakan mereka yang menghina, mengancam serta mempersendakan kaum-kaum dan agama-agama yang lain.

Perbuatan mereka ini, jika tidak dikawal dan dicegah, dibimbangi akan membangkitkan ketidakpuashati dan kemarahan orang ramai dan seterusnya kestabilan ekonomi dan politik negara akan tergugat.

Sehingga pada hari ini, pihak pemerintah masih gagal untuk melaksanakan langkah-langkah yang adil dan saksama di dalam memastikan keadaan tersebut tidak digalakkan atau merebak dengan sewenang-wenangnya.

Sebaliknya, pihak pemerintah terus mengelirukan keadaan dengan pelbagai interpretasi dan penguatkuasa undang-undangnya mengikut keadaan dan definasi yang berlainan cara serta bertentangan di antara satu sama lain, apabila disebut sahaja maksud ‘kebebasan bersuara’ jenama mereka. Di manakah keadilan, kesaksamaan, kesamarataan dan kemanusiaan sejagat serta nilai-nilai murni dan keagamaan mereka yang sebenarnya?

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Japanese WW2 aggression in Asia: Japan should apologize