Pilihnraya kerajaan tempatan adalah hak rakyat

Seruan agar pilihanraya kerajaan tempatan dipulihkan dengan segera semakin lantang. Pilihanraya kerajaan tempatan adalah hak rakyat untuk memilih wakil-wakil mereka untuk menjadi ahli-ahli majlis daerah, perbandaran dan dewan bandaraya.

Selain daripada itu, pilihanraya kerajaan tempatan ini juga memberikan hak mengundi kepada rakyat untuk memilih presiden atau yang dipertua majlis-majlis daerah, perbandaran dan datuk-datuk bandar di peringkat dewan bandaraya.

Di sesetengah negara, demokrasi sebegini turut diperluaskan sehinggalah ke peringkat akar-umbi, seperti perkampungan, daerah perumahan dan unit-unit pendudukan.

Manakala di dalam negara kita pula, pilihanraya hanya merangkumi hak rakyat untuk mengundi meilih wakil-wakil mereka ke Dewan Rakyat (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri (Dun), manakala ahli-ahli Dewan Negara (Senat), ahli-ahli majlis daerah, perbandaran dan dewan bandaraya serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah dilantik oleh kerajaan-kerajaan negeri masing-masing. Nampaknya, demokrasi di dalam negara kita ini hanya terhad di peringkat Parlimen dan Dun sahaja.

Baru-baru ini, presiden Pas Hadi Awang telah berkata bahawa pilihanraya kerajaan tempatan akan menyebabkan sesuatu kaum disisihkan daripada arena kemajuan dan kepentingan politik dan ianya akan menyebabkan satu lagi rusuhan kaum jika sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan itu dilaksanakan. Akan tetapi, sehinggalah ke hari ini, Hadi masih gagal mengemukakan buktinya bagaimana rusuhan kaum bakal terjadi jika pilihanraya tersebut dilaksanakan.

Untuk pengetahuan umum, seruan agar rakyat dikembalikan hak mereka untuk memilih kerajaan tempatan adalah tepat kerana di peringkat ini jugalah rakyat jelata menjelaskan cukai, hasil, perlesenan dan pelbagai lagi bayaran pada setiap tahun. Selain daripada itu, kerajaan tempatan juga bertanggungjawab menyediakan pelbagai perkhidmatan umum seperti pungutan sampah, pembentungan, kebersihan, hiasan dan keindahan bandar, pengurusan taman, dewan orang ramai, gerai makanan, tapak permainan dan sukan, penguatkuasaan, tempat letak kenderaan, pengairan dan saliran, dan merinyu kesihatan.

Selain daripada itu, kerajaan tempatan juga berperanan menentukan belanjawan tahunannya, pembangunan dan perancangan projek-projek yang dilaksanakan di kawasan-kawasan jagaannya dijalankan mengikut aturan yang telah ditetapkan.

Persoalannya adalah, jika sekiranya perkhidmatan-perkhidmatan tersebut tidak memuaskan dan terdapat banyak kelemahan dari segi pengurusan dan segala bentuk aturan kerjanya, serta belanjawannya tidak menepati sasarannya, siapakah yang akan dapat memastikan mutu perkhidmatan mereka diperbaiki dan dipertingkatkan?

Ya, ramai yang akan menjawab kerajaan negerilah perlu bertanggungjawab, tetapi sejauh manakah keberkesanan kerajaan negeri dalam memastikan setiap kerajaan tempatan di bawah kelolaannya dapat menyediakan perkhidmatan yang cekap dan telus kepada rakyat dan para penduduk setempat? Apajua perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan tempatan turut melibatkan kepentingan kebajikan dan kepuasan rakyat.

Apa yang kita dapati pada hari ini, hampir kesemua kerajaan tempatan di dalam negara kita gagal ataupun tidak dapat menyediakan perkhidmatan yang memuaskan hati rakyat dengan sepenuhnya. Kecekapan pentadbiran di sesetengah kerajaan tempatan boleh juga dikadar pada peringkat sifar.

Malah ada juga kerajaan tempatan yang bertindak meluluskan beberapa pembangunan dan perancangan sehala tanpa merujuk kepada kepentingan dan kebajikan rakyat dan para penduduk setempat terlebih dahulu. Dan berikutan perkara inilah, terdapat banyak kejadian penduduk setempat keluar melakukan bantahan terhadap beberapa pembangunan dan perancangan yang dilaksanakan di kawasan-kawasan berdekatan dengan kediaman mereka.

Ketidakpuashati para penduduk setempat adalah merangkumi pencemaran alam dan bunyi, kekotoran yang timbul, penduduk terpaksa berpindah, kerja-kerja yang merosakkan kediaman mereka, kerosakan jalanraya, longkang tersumbat, dan kediaman atau kemudahan dirobohkan.

Dan apabila masalah tersebut diajukan kepada ahli-ahli majlis yang mewakili kawasan-kawasan mereka, jawapannya hanya, “Kerja-kerja atau projek-projek tersebut telahpun diluluskan dan tidak dapat berbuat apa-apa lagi”. Ahli-ahli majlis kerajaan tempatan pada hari ini sekadar menerima arahan sahaja tanpa dapat berbuat apa-apa untuk memastikan kepentingan rakyat terpelihara.

Selain daripada itu, kurangnya perbahasan di kalangan ahli-ahli majlis kerajaan tempatan mengenai belanjawan, pembangunan dan perancangan juga telah menyebabkan kaedah pengurusan kerajaan tempatan telah menjadi seolah-olah seperti hanya sebuah jabatan atau agensi kerajaan negeri yang hanya “merunut perintah” semata-mata.

Oleh yang demikian, isu-isu yang dijelaskan di sini adalah isu-isu yang melibatkan kepentingan dan kehidupan rakyat secara harian. Jika dibandingkan dengan fungsi kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri, kerajaan tempatanlah yang lebih dekat dengan rakyat dan para penduduk setempat, dan oleh kerana itulah kita memerlukan kerajaan tempatan yang dipilih oleh rakyat bagi memastikan kecekapan dan akauntabiliti pentadbiran tersebut terpelihara.

Di samping itu, peranan dan perkhidmatan ahli-ahli majlis juga dapat dipertingkatkan lagi berikutan pemantauan rakyat jelata yang berpeluang memilih dan menolak mana-mana calon pada pilihanraya yang berikutnya.

Akhirnya, adalah amat jelas sekali bahawa isu-isu perkauman atau perihal suatu kaum akan tersisih akibat daripada terlaksananya pilihanraya kerajaan tempatan tidak timbul. Rusuhan kaum ataupun tersisihnya suatu kaum itu adalah tindakan politik sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan bukannya akibat daripada proses pilihanraya kerajaan tempatan itu.

Pendapat di atas dikarang oleh Pengarah IRAS, W.H.Cheng dan telah diterbitkan di dalam Aliran.com pada 4/2/2015

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Japanese WW2 aggression in Asia: Japan should apologize