Mempromosi kesederhanaan di luar negara, tetapi membiarkan pelampau di dalam negara

Oleh WH Cheng
bm.theantdaily.com, 14 Nov 2014

Malaysia menduduki tempat tertinggi dalam aspek agama dan etnik, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pew Research Centre.

Perdana Menteri dan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah memperjuangkan dan menjalankan agenda kesederhanaan di arena global, dan usaha terbaru bagi mempromosi dirinya sebagai seorang pemimpin Muslim sederhana, telah dilakukan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-69 baru-baru ini.

Najib telah menunjukkan pemimpin-pemimpin dunia Islam bahawa beliau merupakan "seorang contoh pemimpin sederhana yang baik", yang patut dicontohi orang-orang lain.

Ya, rakyat negara-negara lain yang tidak memiliki banyak pengetahuan politik mengenai Malaysia, pasti mempercayai bahawa ucapannya menampakkan usahanya dalam memerangi segala bentuk ekstremisme, keganasan dan diskriminasi agama dan kaum.

Namun di halaman rumahnya sendiri, pelampau-pelampau agama dan perkauman dibenarkan berkembang secara sistematik. Diskriminasi agama dan ancaman terhadap agama-agama lain juga telah berkembang dengan pesat dan menjadi tidak terkawal.

Kita masih dapat ingat Najib, dalam ucapannya pada sidang kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyeru golongan sederhana untuk menuntut semula agenda keamanan dan pragmatisme dan mengasingkan golongan pelampau.

Ya, Perdana Menteri membuat seruan ini kepada pemimpin-pemimpin negara-negara lain, tetapi dia gagal menangani ekstremisme agama dan kaum yang semakin meningkat di negaranya sendiri. Bukankah beliau sepatutnya mengamalkan apa yang beliau sarankan terlebih dahulu? Bukankah dia sepatutnya menjadi contoh di Malaysia terlebih dahulu, sebelum menggesa orang lain untuk mengejar kesederhanaan?

Apakah yang beliau cuba tunjukkan melalui politik kesederhanaan beliau di PBB, dan politik agama dan bangsa di Malaysia?

Najib seolah-olah mempercanggahi dirinya sendiri dan meletakkan dirinya dalam sudut yang sukar, melalui tindakannya meminta pemimpin-pemimpin negara lain untuk mengambil jalan tengah, menerima pakai pendekatan keamanan dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengasingkan golongan ekstremis, walhal di rumahnya sendiri, parti pemerintahnya mendukung konsep pecah dan perintah dan mentadbir menggunakan ketakutan.

Kita ingin tahu apakah Najib akan dapat memainkan peranan yang berkesan dalam menggerakkan pandangan negara dan antarabangsa terhadap serangan-serangan oleh pelampau, jika usahanya digagalkan oleh peningkatan pelampau agama dan kaum dari dalam parti pemerintah dan kerajaan.

Sudahlah! Masyarakat antarabangsa dan rakyat kita sedang menonton setiap langkah yang diambil Najib. Adakah beliau benar-benar ikhlas dalam agenda kesederhanaannya, atau dia hanya mencari populariti di peringkat antarabangsa?

Perdana Menteri itu tidak seharusnya melupakan inti ucapan beliau di PBB di mana beliau menegaskan: "Individu-individu dan kumpulan-kumpulan etnik dan agama perlu merasakan bahawa mereka mempunyai kepentingan dalam kejayaan sebuah negara, bukan kegagalannya. Jadi, kita harus menumpukan terhadap gerakan politik yang lebih inklusif, pragmatis berdan kompromi. Dan ia harus datang dari dalam."

Jadi, apa yang telah terjadi dengan negara kita hari ini? Tindakan oleh golongan ekstremis dan perkauman bukannya sesuatu yang bodoh atau dipandu emosi, tetapi telah dihitung, dirancang dan berniat jahat untuk mewujudkan kebencian di negara ini.

Kumpulan-kumpulan ini jelas disokong oleh sikap berdiam diri pihak berkuasa, dan secara aktif oleh beberapa elemen yang memiliki kuasa. Amat jelas bahawa golongan fanatik ini diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mempromosikan agenda kebencian dan keganasan mereka sesuka hati.

Keadaan di negara kita hari ini nampaknya telah berada di luar kawalan. Yang paling mengejutkan adalah sebuah kejadian minggu lepas apabila sekumpulan pengguna menggesa supaya tindakan dilakukan terhadap sebuah botol air mineral kerana menggunakan imej dewa Hindu pada labelnya, dengan alasan bahawa lokasinya berdekatan logo "halal" adalah tidak sensitif.

Apakah Malaysia benar-benar merupakan contoh kesederhanaan bagi negara-negara lain, ketika dasar toleransi dan kesederhanaan yang dianjurkan oleh bapa-bapa pengasas kita sedang terhakis dengan cepat?

Najib harus memberikan tumpuannya terhadap ancaman-ancaman ini, sebelum ianya menghancurkan seluruh negara ini.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Japanese WW2 aggression in Asia: Japan should apologize