Bentuk Gabungan Kiri sebagai kuasa ketiga
Oleh Viktor Wong
Ramai di antara kita sudah muak dengan politik terlampau yang diamalkan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Sudah tiba masanya parti politik di luar BN mahupun Pakatan bergabung sebagai satu suara alternatif sebagai pilihan pengundi. Mungkin rakyat Malaysia juga perlu menimbang kembali corak pembuangan undi agar kedua-dua gabungan ini tidak begitu mabuk kuasa.
Laungan 1Malaysia daripada BN hanya omongan kosong tanpa usaha tulen mempromosi perpaduan bangsa sedang parti dominannya Umno kekal menyemarakkan sentimen perkauman dan agama. Parti-parti komponen lain seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP pula ternyata gagal menghalang Umno daripada amalan politik kebenciannya, malah mereka kini sudah lagi tidak relevan. Korupsim salahguna kuasa dan kegagalan tadbir urus di pihak kerajaan semakin menjadi-jadi.
Di pihak Pakatan Rakyat pula, sejak dua pilihanraya umum lalu ia masih gagal melaksanakan pelbagai janji-janjinya. Ada yang seakan dilupakan terus. Kita masih ternanti-nanti pilihanraya bagi kerajaan tempatan serta reformasi parlimen yang dilaungkan di negeri-negeri pimpinannya. Difahamkan, salah satu daripada gabungan PR tidak gemarkan pemilihan kerajaan tempatan tetapi tidak menyatakannya secara terbuka.
Adakah kita, rakyat Malaysia, menantikan politik bertanggungjawab yang tidak kunjung tiba?
Kini, rakyat sudah jemu dengan amalan rasuah, salahguna kuasa dan dasar-dasar berat sebelah di pihak Barisan. Sikapnya yang menggalakkan kumpulan pelampau agama berleluasa turut menyumbang kepada kemenangan besar PR di dalam usaha pengundi memperkukuhkan gabungan parti-parti pembangkang agar berlaku usaha pemantauan yang lebih berkesan.
Namun, PR juga nampaknya gagal memenuhi hasrat rakyat kebanyakan. Maka adakah kita akan kembali memberi sokongan kepada BN di dalam PRU akan datang? Sejarah mereka di dalam ketidakadilan sudah tentunya amat jelas. Pengundi sewajarnya lebih berhati-hati membuat pilihan.
Kerana corak politik yang kurang menyenangkan kita, agaknya ramai yang bakal duduk di rumah sahaja dan tidak menggunakan hak mereka mengundi. Namun, adakah usaha memboikot pilihanraya bakam memberi kesan kepada BN dan PR? Tidak sama sekali.
Mengapa perlu kita diberikan dua pilihan sahaja di dalam amalan demokrasi di negara ini? Mengapa tidak kita menawarkan sistem pelbagai parti selain parti-parti yang bergabung membentuk BN atau Pakatan? Ini seharusnya dilakukan bagi memastikan dasar-dasar serta perlaksanaannya oleh kedua gabungan tersebut tidak tersasar jauh daripada harapan pengundi.
Difahamkan, Parti Sosial Malaysia telah menjalin kerjasama dengan Parti Rakyat Malaysia dan NGO haluan kiri Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). NGO lain yang berhaluan kiri turut bersama mereka membentuk Gabungan Kiri dengan tujuan mendidik pengundi tentang demokrasi meluas, kesamarataan dan pemilihan kerajaan tempatan.
Sebelum ini PSM berada di kedudukan tersepit dengan menjalin kerjasama dengan PR selepas oposisi itu enggan menerima penyertaannya. Namun kerana mahu bersama, PSM tetap membantu walaupun kadang-kala teraniaya. Contohnya, di dalam PRU13 lalu, ia dibelot PR yang meletakkan calon-calon bagi kerusi yang sewajarnya ditandingi PSM.
PSM turut dipaksa menggunakan lambang PKR di dalam PRU12 dan PRU13 kerana didakwa lambangnya sendiri tidak sesuai. Berapa lama lagi perkara seperti ini harus berlaku?
PSM menegaskan bahawa Gabungan Kiri dimasih belum dibentuk secara rasmi dan hanya akan memantau pentadbiran BN mahupun Pakatan, sambil membuat teguran apabila mereka tersasar daripada perjuangan asal. PSM mengaku gabunga baharu in masih belum bersedia menjadi kuasa ketiga. Pada masa yang sama, PSM sudah memadamkan hasratnya untuk bersama-sama PR.
Apa gunanya Gabungan Kiri ini terbentuk sekiranya PSM masih mahu menyertai PR? PSM masih kecewa kerana ia dibelot PR pada plihanraya umum yang lalu.
Kepentingan Gabungan Kiri ini tidak dapat dinafikan dan ia bakal memberi pengundi alternatif di masa hadapan. Jadi mengapa perlu teragak-agak membentuknya? Ia bakal menjadi suara ketiga bagi rakyat Malaysia.
Rakyat telah jelek dengan permainan BN dan PR hari ini, dan Gabungan Kiri bakal menjadi wadah perjuangan bagi memperbetulkan situasi. Apa tunggu lagi? Gabungan Kiri perlu dibentuk hari ini!