Memahami tanggungjawab sebenarnya seseorang MP dan ADUN

Selama ini, ramai antara kita kurang memahami mengenai tugas dan tanggungjawab yang sebenarnya ahli-ahli parlimen (MP) dan ahli-ahli dewan undangan negeri (ADUN).

Apabila persoalan ini diajukan kepada kalangan masyarakat, jawapan mereka adalah spontan, iaitu peranan MP dan ADUN adalah hampir sama, yakni melawat dan memeriksa long dan parit tersumbat, menerima aduan mengenai jalanraya yang rosak, kekurangan tempat letak kereta, sampah yang tidak dikutip, melawat seseorang yang telah dimasukkan ke dalam hospital, meziarahi keluarga simati, menghadiri upacara perkahwinan ataupun ulangtahun kelahiran seseorang berusia, menghadiri acara dewan-dewan perniagaan, persatuan-persatuan masyarakat, membantu penduduk memperolehi lesen-lesen perniagaan ataupun penjaja, membantu dalam rayuan meringankan kadar kompaun, menerima aduan mengenai keperluan infrastruktur yang berkurangan seperti tiang lampu, lampu isyarat, bekalan elektrik terputus, talian telefon dan jalan-jalan yang tidak diturap dan berbagai-bagai lagi kegiatan masyarakat setempat.

Kesemua bentuk kegiatan yang terpaksa dilayan oleh MP dan ADUN ini telah banyak menghabiskan masa para wakil rakyat yang sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk memenuhi tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenarnya.

Hakikatnya adalah, kesemua bentuk kegiatan di atas bukannya suatu tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap MP dan ADUN. Mungkin sebentar lagi, ada yang akan mengatakan kenyataan kami ini adalah kejam kerana mencadangkan agar “menyisihan” wakil-wakil rakyat tersebut daripada kegiatan masyarakat setempat.

Tugas dan tanggungjawab utama MP dan ADUN adalah melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan atau exco negeri, menyertai atau mengambil bahagian di dalam jawatankuasa-jawatankuasa parlimen atau dewan di dalam merangka dasar dan undang-undang, memantau dan memerhati segala bentuk belanjawan kerajaan, membentang dan membahas rang undang-undang atau enakmen negeri, membentang dan membahaskan dasar-dasar yang sedang atau bakal dilaksanakan oleh kerajaan, menerima dan mengkaji peruntukan dan belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan, memerhati segala perlaksanaan kerajaan agar ianya dapat memberikan manfaat kepada rakyat dengan sepenuhnya.

Kesemua bentuk tugas dan tanggungjawab MP dan ADUN pada keseluruhannya hendaklah berdasarkan kepentingan rakyat jelata dan bukannya parti-parti politik yang dianggotai oleh mereka.

Setiap MP dan ADUN juga perlu mewajibkan kehadiran mereka pada setiap seesi persidangan parlimen atau dewan negeri bagi mengambil bahagian sepenuhnya di dalam prosiding dalaman seperti pembentangan dan perbahasan dasar, merangka undang-undang, membangkit isu-isu semasa yang berkepentingan umum, menyuarakan keresahan umum terhadap sesuatu dasar atau perlaksanaan, sama ada ianya berkaitan dengan ekonomi, kewangan, pengangkutan, kebajikan ataupun sosial.

Pendek kata, tanggungjawab setiap MP dan ADUN di dalam parlimen dan dewan-dewan negeri adalah merangkumi perkara-perkara berkaitan seni kerajaan atau politik, urus-tadbir negara atau negeri-negeri serta penggubalan dasar awam (public policy).

Hal yang berkenaan dengan masalah harian dan masyarakat setempat sepatutnya diperhatikan oleh ahli-ahli majlis bandaraya, majlis perbandaran, majlis daerah serta jawatankuasa-jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), kerana wakil-wakil peringkat tempatan inilah yang dapat berurusan dengan pihak berkuasa tempatan dengan lebih berkesan.

Ahli-ahli majlis tempatan dan JKKK inilah yang perlu bertanggungjawab memerhati dan menguruskan segala hal yang berkait rapat dengan kegiatan masyarakat setempat serta turun padang dengan kerap bagi membantu menyelesaikan apajua aduan dan masalah yang timbul di dalam peringkat ini, memastikan kesemua bentuk kemudahan awam disediakan untuk para penduduk setempat dan kaedah pembaikan dilaksanakan dari masa ke semasa.

Jadi adalah tidak relevan sekali, jika kita asyik mengadu bahawa MP dan ADUN tidak pernah melawat dan mengambil berat mengenai hal-ehwal masyarakat setempat di kawasan yang mereka wakili. Rakyat jelata juga perlu dididik mengenai tugas dan tanggungjawab sebenarnya seseorang MP dan ADUN serta peranan-peranan yang dimainkan oleh ahli-ahli majlis tempatan dan JKKK.

Cuba kita perhatikan keadaan sekarang di mana MP dan ADUN yang asyik dibelenggui masalah dan kegiatan peringkat tempatan sehinggakan mereka tidak mempunyai masa untuk menghadiri seesi parlimen dan dewan-dewan negeri ataupun mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa. Ini jelas akan membantut usaha MP dan ADUN ini untuk melaksanakan tugasan mereka yang sebenarnya di dalam memastikan dasar-dasar kerajaan membawa manfaat kepada jelata.

Fahamilah peranan sebenarnya yang perlu dimainkan oleh MP dan ADUN untuk negara kita.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Japanese WW2 aggression in Asia: Japan should apologize