Tumpukan perhatian terhadap penyelewengan dana kerajaan

Cetusan yang berterusan isu-isu yang berkaitan dengan agama dan perkauman pada hari ini adalah salah satu taktik kotor yang sering dipermain-mainkan oleh parti memerintah untuk memecahbelah serta mengelirukan rakyat jelata, seterusnya mengalihkan perhatian mereka terhadap masalah yang sebenarnya dihadapi oleh rakyat jelata dan negara.

Masalah yang paling kritikal yang dihadapi oleh rakyat jelata dan negara pada hari ini adalah penyelewengan dana kerajaan oleh para pemimpin parti memerintah dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Audit demi audit, penyiasatan demi penyiasatan, suruhanjaya diraja demi suruhanjaya diraja, dakwaan demi dakwaan dan seterusnya “pengadilan” demi “pengadilan”, namun kesemua bentuk langkah dan tindakan tersebut bagaikan suatu tayangan filem yang tidak ada penamatnya yang mengharapkan rakyat yang menyaksikan babak-babak tersebut akan melupakannya di kemudian hari.

Negara kita kini menghadapi serangan bukan sahaja daripada pihak yang berpolitik, malah kini serangan tersebut telah menyusup ke arah merosakkan sektor ekonomi negara kita di mana mata wang Ringgit kita telah diserang bertubi-tubi sehinggakan terjatuhnya nilainya ke paras yang paling rendah dalam sejarah.

Apakah alasannya? Menurut parti memerintah di Putrajaya, musuh utama negara, Zionis atau Israel yang telah bertekad untuk menghuru-harakan ekonomi negara kita. Ini hanyalah alasan yang mereka sering diperkatakan di kawasan-kwasan luar bandar, kampung dan penempatan yang terpencil.

Kini kita semua sedang berdepan dengan skandal 1MDB yang kerugian sejumlah RM42 billion dan diikuti dengan satu lagi skandal MARA melalui anak syarikatnya di Australia, MARA Incorporated yang telah menyebabkan satu kehilangan sebanyak RM375 juta.

Selain daripada itu, kita juga masih tidak lupa skandal-skandal yang lalu yang telah menyebab negara kerugian berbilion-bilion Ringgit, sehinggakan kerajaan terpaksa menanggung defisit bertahun-tahun lamanya, terpaksa meminjam daripada negara-negara maju dan bank-bank antarabangsa.

Skandal-skandal lalu yang masih belum ada penyelesaiannya sehingga pada hari ini adalah seperti skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang kerugian RM12 billion, di mana seorang dua bekas menteri yang telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menyalahgunakan kuasa dan rasuah, akhirnya dibebaskan kerana kekurangan bukti untuk meneruskan dakwaan dan sabitan kesalahan tidak dapat dilaksanakan; skandal pemberian komisen sejumlah RM500 juta kepada sebuah syarikat ke atas pembelian dua buah kapal selam; kerugian Sime Darby Bhd sebanyak RM94 juta; kerugian Pos Malaysia Bhd sebanyak RM230 juta dalam projek Transmile; pembaziran RM1 billion dalam projek Eurocopter; pembayaran RM10 juta untuk suatu pengiklanan facebook mengenai pelancongan Malaysia; kompleks sukan Malaysia di London yang tiada gunanya sejumlah RM70 juta; pembelian jet peribadi baru untuk kegunaan perdana menteri sejumlah RM200 juta; kerugian ke atas penjualan Augusta sebanyak RM510 juta; pembelian dua buah kapal selam sebanyak RM4.1 billion yang sehingga kini tidak nampak sebarang keberkesanannya di dalam pertahanan negara; skandal Perwaja Steel yang kerugian RM2.56 bilion dan skandal Bank Bumiputra Berhad yang berlaku pada tahun 1980an dan 2008 yang telah menyebabkan bank tersebut kerugian RM3.2 bilion.

Selain daripada itu, skandal-skandal dan pembaziran dalam kerajaan juga masih berterusan dengan pembelian dakwat kekal oleh Suruhanjaya Pilihanraya sebanyak RM2.4 juta tetapi tidak pula menampakkan keberkekalannya apabila dakwat tersebut digunakan berikutan terlapornya beberapa insiden pengundian kali kedua dan sebagainya. Kerajaan juga kerugian RM1.3 bilion apabila bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baru yang siap dibina itu sudah tidak dapat dipakai lagi ekoran daripada pembatalan projek jambatan bengkok Malaysia-Singapura di mana kerajaan juga terpaksa membayar pampasan sebanyak RM257 juta kepada beberapa buah syarikat.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah membelanjakan sejumlah RM3.2 bilion di dalam perlaksanaan pendidikan matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris yang tidak menampakkan sebarang kemajuan dan keberkesanannya, sebaliknya menerima pelbagai rungutan dan bantahan daripada beberapa pihak. Selain daripada kerugian RM3.2 bilion itu, kerajaan juga didapati telah terlebih membelanja sebanyak RM2.21 bilion di dalam pembelian pelbagai alatan ICT dan komputer untuk kegunaan projek matapelajaran yang gagal itu.

Kerajaan juga didapati telah membelanjakan sebanyak RM7.9 bilion untuk menanggung kerugian MAS yang lalu; RM4.5 bilion terhahap kerugian projek sistem pengangkutan Putra; RM3.3 bilion terhadap kerugian projek STAR-LRT; RM193 juta terhadap kerugian projek sistem pembentungan negara; RM135 juta terhadap kerugian projek pembinaan penjara di Kuching; RM1.5 juta terhadap tiga buah lukisan yang dibeli dan digantung di dalam pejabat MAS; RM6.8 bilion terhadap kerugian projek PSC Naval Dockyard; RM10 bilion terhadap pelaburan kerajaan di dalam projek Valuecap Sdn Bhd dan banyak lagi penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah disenaraikan di dalam laporan-laporan Ketua Audit Negara.

Walau apa jua “langkah” demi “langkah” dan “tindakan” demi “tindakan” yang diambil oleh kerajaan BN ini, sehingga kini kita tidak menampakkan sebarang keberkesanan ataupun pembasmian, sebaliknya penyelewengan tersebut masih berterusan, amalan rasuah menjadi semakin meluas dan para pemimpin serta pegawai kanan kerajaan masih bebas menyalahgunakan kuasa mereka untuk manfaat diri mereka.

Dan jika sekiranya kita mengira satu demi satu kos dan nilai kerugian serta kehilangan wang kerajaan tersebut, boleh kita katakan ianya akan mencecah ratusan billion Ringgit (trillions of Ringgit) yang sepatutnya digunapakai untuk kebajikan dan pembangunan yang dapat membantu menaiktaraf kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

Setelah pelbagai bentuk kesalahan itu didedahkan kepada umum, kerajaan BN itu akan berusaha untuk menutupnya dengan mengharamkan beberapa saluran media yang kritikal terhadap kerajaan, melakukan beberapa siri penangkapan ataupun memberikan amaran tehradap beberapa pihak yang telah mendedahkan kebenaran tersebut kepada orang ramai, serta menuduh mereka-mereka yang prihatin ini sebagai pencetus huru hara di dalam negara.

Inilah tabiat dan keburukan kerajaan BN sekarang, sudah mengetahui kesalahannya tetapi enggan memperbetulkan keadaan, sebaliknya menuduh mereka-mereka dan pihak yang melaporkannya itu sebagai pencetus masalah, pengancam keselamatan awam dan diikuti dengan berbagai-bagai tuduhan yang tidak berasas.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits