Mengapa kita perlu belajar teori Marxisme?

oleh Choo Chon Kai

Mengapa kita perlu teori sebagai panduan dalam perjuangan rakyat?

Bukankah kita dah tahu dunia kita sedang berada dalam krisis? Bukankah kita dah tahu bahawa adanya penindasan dalam masyarakat? Bukankah kita dah tahu bahawa kita perlukan keadilan? Bukankah kita dah tahu bahawa rejim zalim perlu dijatuhkan?

Pasal apa lagi nak cakap teori dan ideologi, lawan sahaja lah… teori tu hanya dibincangkan oleh golongan intelektual kan?

Sememangnya masyarakat kita sedang berdepan denga pelbagai ancaman krisis dan kita perlu lawan dan terus berjuang. Namun, perjuangan tanpa satu teori untuk memahami keadaan, tiada halatuju yang jelas dan tiada perancangan untuk melangkah ke depan adalah sesuatu tindakan yang membuta-tuli. Itu adalah perjuangan yang tiada hala tuju, hanya sekadar perasaan marah tetapi tidak tahu apa yang sebenarnya nak dicapai pada akhirnya.

Oleh yang demikian, kita perlu teori untuk perjuangan. Hanya perjuangan praktikal yang berpandukan teori yang jelas boleh menghasilkan sesuatu yang bermakna. Begitu juga kita tidak boleh hanya berbincang tentang teori sahaja tanpa melibatkan diri dalam perjuangan nyata, jikalau begini teori itu hanya suatu khayalan.

Ada orang mengatakan bahawa teori Marxis (iaitu idea-idea yang dibawa oleh Karl Marx, Engels dan pemikir kiri selepas mereka) itu sesuatu yang susah difahami, kompleks dan merupakan dogma yang membosankan. Mereka kata idea-idea sosialis tu sesuatu yang “abstrak”, tidak nyata dan tidak praktikal. Ada pula yang kata idea Marxis itu bagus, tetapi tidak sesuai atau tidak boleh dipakai dalam masyakarat kita sekarang.

Mereka yang tidak memandang serius tentang teori perjuangan itu sebenarnya ada pula “teori” mereka sendiri, misalnya, “sifat semulajadi manusia itu adalah pentingkan diri sendiri”, “sifat manusia tak boleh berubah”, “kalau orang kaya tiada keuntungan, tak mungkin wujud peluang pekerjaan untuk kita semua”, “setiap orang pasti boleh berjaya jika dia rajin berusaha”, “masalah yang dihadapi masyarakat kita hari ini adalah disebabkan keruntuhan moral”, “kita perlu seorang pemimpin yang berwibawa untuk menyelamatkan negara kita”,…… setiap hujah yang biasa kita dengar ini, pastinya merangkumi pandangan tentang bagaimana masyarakat boleh jadi macam ini atau itu, dan juga bagaimana manusia boleh mengubah keadaan yang sedia ada. Semua pendangan yang cuba menerangkan “realiti” atau tanggapan tentang realiti sosial ini, sebenarnya adalah “teori” tentang masyarakat,

Oleh itu, sesiapa yang mengatakan bahawa dia tidak memegang pada apa-apa teori, bermakna dia ni tidak jelas tentang pandangannya, ataupun tidak sedar bagaimana dia berfikir. Orang yang menolak ideologi itu sendiri sudah pun mempunyai satu ideologi (ideologi yang anti-ideologi).

Marx bukan nabi

Teori-teori Marxis bukan sahaja tentang pemikiran Marx, tetapi juga himpunan pemikiran mereka yang menyumbang dalam wacana pembentukan teori untuk memahami dinamik masyarakat dan juga perjuangan kelas.

Karl Marx (1818-1883) merupakan seorang tokoh falsafah, politik dan teori kemasyarakatan yang amat penting dalam sejarah moden manusia. Tulisannya telah menjadi asas penting kepada gerakan sosialis zaman moden di seluruh dunia, dari abad ke-19 hingga sekarang.

Karl Marx itu bukannya seorang nabi, bukannya seorang yang sempurna. Maka, teori, idea dan pemikiran yang dibawa oleh Marx bukannya sesuatu kebenaran mutlak yang langsung tidak boleh dicabar. Dan oleh kerana itu, idea-idea yang dibawa oleh Marx itu penting untuk kita pelajari tanpa menjadikannya satu dogma yang kaku.

Pada hakikatnya, teori-teori Marx telah melalui satu proses pengesahan sepanjang perjalanan perjuangan kelas pekerja dan rakyat bawahan sejak abad ke-19, dan terbukti masih relevan sampai hari ini.

Salah faham tentang pemikiran Marx

Ada banyak tanggapan yang silap tentang idea-idea Marx, disebabkan mereka yang mengeluarkan dakwaan tentang idea-idea Marx itu sebenarnya tidak memahami apa dibawa dalam tulisan Marx dan Marxis selepasnya.

Misalnya, ramai yang menganggap apa yang berlaku di negara-negara yang diperintah oleh parti-parti komunis pada abad ke-20 itu adalah proses revolusi sosialis dan masyarakat itu komunis. Malah, eksperimen sosial yang dilakukan oleh parti-parti komunis di banyak negara yang diperintahnya itu sebenarnya merupakan sesuatu yang tidak dipersetujui oleh Marx, di mana Marx menyifatkan itu sebagai “komunisme berek” atau “komunisme mentah” (crude communism), iaitu melakukan pengkolektifan (collectivisation) secara keras dan semua aspek kehidupan dikawal secara birokrasi. Itu merupakan sesuatu yang menyimpang daripada prinsip ideologi Marx, seperti tindakan ISIS yang menyimpang daripada ajaran Islam hari ini.

Ada juga yang menganggap Marx itu anti-demokrasi, kerana beliau mengkritik sistem demokrasi perwakilan. Sedangkan apa yang dikritik oleh Marx itu adalah sistem demokrasi perwakilan itu masih memisahkan kelas penindas dengan kelas yang tertindas, maka ia menjadi satu alat bagi kelas pemerintah kapitalis untuk meneruskan penindasan kelas. Apa yang dicadangkan oleh Marx adalah sistem demokrasi yang membolehkah semua orang dapat melibatkan diri secara langsung dalam proses politik tanpa bergantung pada perwakilan. Oleh itu, idea Marx adalah untuk demokrasi yang lebih hebat, bukannya kembali kepada pemerintahan autokratik.

Ada apa dengan pemikiran Marx?

Marx bukan orang pertama yang cuba menerangkan apakah masalah dengan masyarakat kita. Sewaktu Marx menulis karya-karya klasiknya tentang ekonomi, politik, falsafah dan idea revolusioner, benua Eropah (khususnya di Britain, Perancis den Jerman) sedang melalui satu proses perkembangan masyarakat yang amat hebat, apabila mesin cipataan baru di kilang mengeluarkan kekayaan kebendaan yang tidak pernah berlaku. Masa itu juga merupakan zaman di mana manusia dapat menguasai cara-cara untuk menangani bencana semula jadi yang pernah menghancurkan kehidupan rakyat sebelum itu.

Namun, dalam sebuah masyarakat yang sudah mula menghasilkan kekayaan yang begitu banyak, majoriti rakyat biasa masih hidup dalam kesusahan. Mereka yang bekerja di dalam kilang-kilang baru yang didirikan pada masa itu, nampaknya sudah bebas, tetapi kehidupan mereka lebih teruk lagi daripada nenek moyang mereka yang bercucuk tanam di kampung. Gaji pekerja pada masa itu hanya sekadar cukup untuk mereka hidup bernafas. Pengangguran dari masa ke semasa menyebabkan kehidupan mereka lebih teruk. Golongan pekerja terhimpit di kawasan miskin kota dan hidup sengsara, tanpa kemudahan kesihatan, dihantui wabak penyakit yang membawa maut. Inilah situasi masyarakat yang menjadi latar belakang kepada pemikiran Marx.

Marx cuba memahami bagaimana sistem masyarakat kapitalis yang baru berkembang itu boleh dibentuk dan berfungsi, sehingga mendorong beliau menghasilkan tulisan tentang ekonomi seperti “Das Kapital”, “Manuskrip 1844” dan sebagainya. Maka wujudnya hujah Marx yang sistematik tentang “kelas kapitalis”, “proletariat”, “nilai surplus”, “pengumpulan modal”, “pemerasan”(eksploitasi) dan “pengasingan” (alienasi).

Pada abad ke-19, juga menyaksikan gerakan kebangkitan perjuangan pekerja berikutan perkembangan sistem kapitalis. Gerakan Piagam Rakyat (Chartism) di England merupakan salah satu gerakan pekerja yang hebat. Apabila gerakan pekerja mengalami kegagalan di England, Marx telah mengemukakan ideanya tentang perjuangan kelas secara jelas dalam risalah yang ditulis bersama Engels, iaitu “Manifesto Komunis”. Dalam Manisfesto Komunis, adalah jelas menyatakan bahawa golongan pekerja perlu bersatu untuk melakukan revolusi, menjatuhkan sistem kapitalis untuk mewujudkan sebuah masyarakat tanpa kelas. Dokumen ini bukannya khayalan ataupun sesuatu yang tiba-tiba timbul dalam minda Marx, tetapi merupakan jawapan Marx kepada persoalan yang dihadapi oleh gerakan pekerja Eropah masa itu. Idea-idea yang dibawa oleh Marx adalah berasaskan analisa pada keadaan konkrit dan usaha untuk menjawab persoalan yang nyata.

Asas pada falsafah Marx adalah “Materialisme Dialektik”. Dialektik berasal daripada dialog, iaitu komunikasi dua hala. Dialetik merupakan satu cara menangani perbezaan pendapat dalam sesuatu debat, dengan mendirikan pemahaman tentang kebenaran melalui dialog yang bernas. Idea dialektik Marx berasal daripada inspirasinya daripada Hegel, tetapi Marx menerapnya dalam haluan yang berbeza daripada Hegel, di mana Marx menyatukannya dengan teori falsafah materialisme, iaitu segala benda adalah berasaskan material (bahan fizikal) dan semua fenomena adalah hasil interaksi material.

Engels menggariskan tiga hukum yang menjadi asas dialetik ini:

1. Perpaduan dan konflik antara dua yang bertentangan

2. Peredaran perubahanan kuantitatif kepada perubahan kualitatif

3. Penafian ke atas penafian

Dengan memahami dialektik, kita boleh terangkan bagaimana seseorang boleh “melahirkan” fikiran atau ideologi, iaitu hasil daripada pengaruh dunia di sekelilingnya, bukannya timbul tanpa sebab dalam mindanya.

Mengapa idea Marx penting?

Sememangnya ideologi yang dibangunkan oleh Marx itu bukannya sesuatu yang sempurna. Lebih-lebih lagi dengan eksperimen sosial yang berlaku pada abad ke-20 yang memberi impak negatif kepada idea-idea komunis yang dibawa oleh Marx. Namun, mengapa kita perlu lagi belajar ideologi Marxis ni?

Idea yang dibawa oleh Marx dan tokoh-tokoh sosialis selepasnya, ataupun ideologi Marxis, merupakan satu alat pemikiran, analisa dan teori yang penting untuk perjuangan kelas, khususnya dalam mencari jalan pembebasan rakyat bawahan dalam dunia kapitalis hari ini. Ideologi Marxisme adalah sesuatu idea yang penuh dengan semangat, sekiranya kita tidak mengamalnya secara kaku dan dogmatik.

Idea-idea Marxisme membekalkan dua perkara penting untuk kita menganalisa masyarakat hari ini yang kompleks. Dua perkara ini adalah “perspektif” dan “idea”.

“Perspektif” adalah cara kita melihat dan mentafsir dunia ini. Perspektif akan menentukan apa yang kita dapat nampak dan apa yang kita tidak dapat nampak, sehingga menentukan bagaimana kita melontarkan persoalan apabila berdepan dengan dunia nyata kita. Perspektif Marx membolehkan kita melihat perkara yang tidak mungkin disedari oleh mereka sebelumnya, iaitu wujudnya ketidaksamaan dalam kerangka kuasa di bawah sistem kapitalis yang pada luarannya nampak macam bebas dan adil. Perpektif Marxis juga membolehkan kita melihat dengan lebih mendalam konflik masyarakat di sebalik pergolakan politik yang mengaburkan mata kita.

“Idea” adalah perkara yang membolehkan kita memahami dunia kita dan mencungkil pandangan kita ke depan. Idea seperti “eksploitasi”, “alienasi”, “pengumpulan modal primitif” dan sebagainya membolehkan kita memahami masalah pokok dalam masyarakat kita hari ini. Idea perjuangan kelas, sosialisme sainfitik dan sebagainya menjadi senjata teori rakyat tertindas untuk mengatur perjuangan.

Mendalami teori, melangkah jauh ke depan

Seperti yang dikatakan oleh Marx, “bukannya kesedaran yang menentukan kewujudan, tetapi kewujudan sosial yang menentukan kesedaran.” Mereka yang berfikir bahawa tidak perlunya ideologi adalah disebabkan pengaruh persekitarannya, termasuk media, sistem pendidikan dan norma-norma masyarakat yang dikuasai oleh kelas pemerintah yang mahu kekalkan keadaan yang sedia ada.

Apabila baca buku sejarah, kita selalu terbaca bagaimana seorang tokoh hebat mencipta sejarah. Malah, jika kita perlu menjelaskan bagaimana “tokoh hebat” itu berpengaruh, kita perlu menjelaskan bagaimana orang ramai pada masa itu setuju dengannya dan sanggup mengikut jejak langkahnya. Adalah tidak tepat jika kita kata Lenin atau Mao telah mengubah sejarah, tanpa menjelaskan bagaimana begitu ramai orang sudi mempercayai mereka dan melaksanakan apa yang dibawa oleh mereka. Takkan Lenin atau Mao ada kuasa ghaib yang dapat memukau berjuta-juta orang. Situasi masyarakat pada masa tertentu yang menyebabkan orang yang hidup pada masa itu terima idea yang dibawa oleh seorang dua tokoh. Oleh itu, adalah penting untuk kita menguasai teori memahami masyarakat yang berubah-ubah mengikut zaman (perubahan keadaan dan hubungan kelas).

Ideologi Marxis adalah satu pemikiran yang sedemikian, berasal daripada perjuangan kelas dan cuba menjawab persoalan yang timbul sepanjang perjuangan kelas ini. Tokoh-tokoh selepas Marx, seperti Vladimir Lenin, Leon Trotsky, Antonio Gramsci, Rosa Luxemburg, Mao Zedong, Louis Althusser, Georg Lukacs dan ramai lagi telah memperhalusi ideologi Marx mengikut keadaan tertentu dan juga meliputi aspek yang berlainan. Ini telah meninggalkan warisan teori Marxis yang kaya untuk kita pelajari hari ini.

Dengan mempertajamkan perspektif kita untuk menganalisa realiti melalui teori Marxis yang radikal, bersama pengalaman perjuangan kita dari masa ke semasa, baru kita dapat terus menggerakkan perjuangan rakyat marhaen untuk perubahan yang bermakna. Tiada penghujungnya untuk mempelajari teori dan terus berjuang, selagi sistem kapitalis yang menindas masih wujud.

Ayuh, marilah kita sama-sama belajar ideologi sosialis dan sama-sama kita bekerja keras untuk membina kuasa rakyat dari bawah.

Penulis rencana ini, Choo Chon Kai adalah Timbalan Setiausaha-Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Seek for quick success and instant benefits

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?