Bajet 2021 harus diteliti dan dipantau sepenuhnya bagi memastikan ia bebas daripada unsur penyalahgunaan kuasa dan ketelusan belanjawan terjamin


Bajet 2021, bukan itu sahaja, malah bajet-bajet peringkat kerajaan-kerajaan negeri juga harus diteliti, dipantau, dan disemak dengan lebih mendalam bagi memastikan belanjawan-belanjawan tersebut adalah benar-benar untuk faedah rakyat dan negara, serta bebas daripada sebarang unsur penyalahgunaan kuasa agar ketelusan belanjawan tersebut terjamin dengan sempurna.

Ini sudah semestinya merupakan tugas dan tanggungjawab institusi-institusi parlimen dan dewan-dewan undangan negeri dalam memastikan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan-kerajaan pusat dan negeri dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

Kita berpendapat bahawa golongan feudal dan simbolik tidak mempunyai sebarang hak eksklusif untuk menentukan sama ada belanjawan tersebut harus diluluskan atau sebaliknya. Kesemua ini adalah bergantung penuh kepada budibicara ahli-ahli parlimen dan dewan-dewan undangan negeri yang mempunyai peranan yang begitu penting sekali di dalam memantau, menyemakimbang dan meneliti kandungan-kandungan belanjawan yang bakal dibentangkan oleh menteri kewangan, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri ataupun ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang menguruskan kewangan kerajaan negeri.

Hakikatnya adalah, negara kita adalah sebuah negara demokrasi, yakni demokrasi berparlimen di mana bukan sahaja belanjawan, malah dasar-dasar dan rang undang-undang yang dibentang oleh kerajaan perlu diteliti, dipantau dan disemak terlebih dahulu sebelum ianya dapat diterima dan diluluskan oleh wakil-wakil rakyat yang bersidang, baik daripada pihak kerajaan mahupun dari pihak pembangkang.

Malah belanjawan yang bakal diperuntukan kepada institusi-institusi feudal dan simbolik juga harus diteliti, dipantau dan disemak dengan sepenuhnya bagi memastikan ketelusan perbelanjaan dan projek-projek yang bakal dilaksanakan. Peruntukan belanjawan yang akan diamanahkan kepada golongan feudal dan simbolik itu juga tidak boleh dikecualikan daripada sebarang pemantauan kerana peruntukan tersebut diatur oleh kerajaan-kerajaan pusat dan negeri-negeri, di mana hasilnya diperolehi daripada rakyat jelata selaku pembayar hasil dan cukai pada setiap tahun.

Rakyat jelata, kita selaku pengundi dan pembayar cukai kepada kerajaan-kerajaan berkenaan berhak untuk mengetahui sejauh manakah hasil-hasil kutipan tersebut digunakan, bagaimana ianya akan dimanfaatkan kepada rakyat dan apakah dasar-dasar dan kemudahan-kemudahan yang akan dilaksanakan untuk faedah rakyat jelata. Kita juga berhak untuk mengemukakan ketidakpuashati kita kepada saluran-saluran yang tertentu sekiranya kita mendapati terdapat sesuatu persoalan yang timbul ataupun terdapat sebarang unsur-unsur salahguna kuasa berlaku di dalam jentera kerajaan.

Untuk menyalurkan pelbagai makluman, ketiadakpuashati ataupun sebarang aduan, kami mengundi memilih wakil-wakil rakyat untuk kawasan-kawasan yang kita diami pada sekali dalam lima tahun di dalam pilihanraya umum.

Beginilah cara sistem demokrasi berparlimen berfungsi di dalam negara kita ini, seperti yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan dan negeri-negeri masing-masing. Peranan yang paling utama buat parlimen dan dewan-dewan undang negeri adalah untuk melaksanakan tanggungjawab murni mereka di dalam memastikan apajua bentuk kegiatan kerajaan baik dari segi belanjawan, mahupun pembentangan rang undang-undang dan dasar, melalui proses pemantauan, penyemakkan dan penelitian yang menyeluruh sebelum ianya dapat diluluskan bagi memastikan kesemua perlaksanaan yang dibawa oleh kerajaan-kerajaan itu memanfaatkan rakyat jelata.

Sekiranya, terdapat mana pihak yang cuba menafikan keadaan tersebut di atas ini atau cuba memutarbelitkan fakta dengan mendakwa ianya telah menghina feudalisme, maka tindakan mereka itu adalah sebenar-benarnya suatu penderhakaan terhadap perlembagaan dan negara, suatu hasutan jahat dan mereka inilah merupakan musuh utama negara yang seharusnya dihapuskan sebelum ianya membawa malapetaka yang lebih dashyat kepada negara kita ini.

Kepada mereka-mereka yang ingin berkecimpungan di dalam politik, bersainglah dengan baik, secara demokratik dan profesional. Gunakanlah cara dan pemikiran yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa. Gunakanlah jalan dan cara yang praktikal, berfikirlah secara rasional dan membuktikan kebolehanmu dengan justifikasi menggunakan fakta serta apakah yang diperjuangkanmu. Janganlah selalu berselindung disebalik agama, bangsa dan feudalisme untuk menyembunyikan kelemahan diri.

Gunapakailah saluran demokrasi dengan sempurna. Janganlah selalu menggunakan feudalisme untuk berselindung di sebaliknya umpama menimbun pasir ke atas kepala sendiri mengharapkan orang lain tidak dapat melihatmu.

Kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih, kami menyarankan, gunakanlah budibicara dan laksanakan tanggungjawab kamu dengan sewajarnya bagi memastikan Bajet 2021 itu disemak dan dipantau dengan bersungguh-sungguh. Menutup Sebelah Mata dengan memberi laluan mudah buat Bajet 2021 ini untuk diluluskan bakal membawa malapetaka buat negara kita sekiranya didapati belanjawan tersebut disalahgunakan atau diambil kesempatan pihak-pihak yang berkepentingan tertentu.

Jadi, laksanakan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat jelata. Atau bersedia menerima akibatnya dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Japanese WW2 aggression in Asia: Japan should apologize