Pilihanraya Kerajaan Tempatan. Kenapa ianya begitu penting?

Baru-baru ini Presiden PAS Haji Hadi Awang telah menyuarakan pendapatnya mengenai pilihanraya kerajaan tempatan dan mengapa PAS enggan menyokong saranan PKR, DAP, PSM, PRM, Bersih 2.0 dan masyarakat pada keseluruhannya agar PAS turut menyokong usul tersebut.

Alasan pemimpin PAS itu adalah, pilihanraya kerajaan tempatan akan menyebabkan Peristiwa 13 Mei itu tercetus semula. Sebabnya adalah, pilihanraya kerajaan tempatan ini akan menyebabkan masyarakat Melayu dipencilkan sama sekali kerana diperingkat perbandaran dan bandaraya hanya terdiri daripada masyarakat bukan Melayu.

Apakah pemimpin PAS itu telah lupa bahawa politik jijiklah yang menyebabkan masyarakat berbilang kaum di negara kita ini berpecahbelah. Kalaulah sesuatu pilihanraya adalah penyebab berpecahnya perpaduan kaum ataupun sesuatu kaum dianaktirikan, maka boleh dikatakan, pilihanraya parlimen dan dewan undangan negeri turut mempunyai elemen-elemen sedemikian, kerana pembahagian kerusi-kerusi parlimen dan dewan undangan negeri sememangnya pada kebanyakan berdasarkan dengan komposisi kaum dan masyarakat-masyarakat yang tertentu.

Kenapa Hadi tidak mempersoalkan perkara tersebut dan menggesa agar pilihanraya umum turut dimansuhkan? Kenapa hanya mensasarkan usul mengenai pilihanraya kerajaan tempatan? Untuk makluman pemimpin PAS itu, pilihanraya kerajaan tempatan bukannya sekadar untuk para penduduk di kawasan perbandaran dan bandaraya sahaja, tidak sedarkah bahawa terdapat juga unit-unit kerajaan tempatan yang lebih kecil seperti majlis-majlis daerah yang kebanyakan didiami oleh masyarakat Melayu pada keseluruhannya. Di manakah sebab dan penyebab sesuatu masyarakat akan dipencilkan?

Untuk pengetahuan umum, kerajaan tempatan pada hari in hanya bergerakan sebagai salah sebuah agensi kerajaan-kerajaan negeri. Ahli-ahli majlis dilantik daripada parti-parti yang memerintah. Tidak ada ketelusan di dalam pengurusan kerajaan tempatan, Apajua perbelanjaan, projek dan pelan pembangunan yang dilaksana dan bakal dilaksanakan langsung tidak mendapatkan perkenan daripada rakyat jelata. Justeru daripada itu, kepentingan dan pendapat daripada rakyat jelata diabaikan di sini.

Selain daripada itu, kecekapan pentadbiran kerajaan juga sering dipersoal. Banyak kelemahan-kelemahan di dalam urusan pungutan sampah, sisa-sisa buangan, penetapan kadar cukai, lesen serta keputusan-keputusan yang melibatkan para penduduk di sekitar tidak dirujuk dan diperundingkan sebelum ianya dikuatkuasakan.

Persoalan yang selanjutnya, semua ahli-ahli majlis adalah dilantik daripada kalangan parti-parti memerintah. Di manakah akauntabiliti mereka kepada rakyat jelata dan para penduduk setempat? Adakah ahli-ahli majlis ini akan mengambil kira pendapat rakyat dan para penduduk setempat serta benar-benar membawanya ke setiap persidangan majlis kerajaan tempatan?

Seterusnya, pembentukan dan komposisi majlis kerajaan tempatan tidak sepatutnya hanya bertumpu kepada keahlian daripada parti-parti memerintah sahaja. Ianya juga sepatutnya terdiri daripada parti-parti pembangkang, persatuan-persatuan sivil, persatuan-persatuan penduduk, wakil-wakil kampung dan sebagainya agar amalan "check and balance" ataupun semak dan imbang dapat menambahbaikan kedudukan, pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan tempatan kepada rakyat jelata.

Selain daripada itu, pilihanraya kerajaan tempatan juga dapat memastikan ahli-ahli majlis yang dipilih rakyat dapat menumpukan perhatian mereka terhadap hal-hal yang berkaitan di sekitar kawasan di bawah kerajaan tempatan masing-masing. Dengan adanya keprihantinan ahli-ahli majlis yang dipilih terhadap masalah-masalah rakyat jelata dan penduduk setempat, ahli-ahli dewan negeri dan ahli-ahli parlimen dapat menumpukan perhatian mereka pembuatan dasar serta memantau pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri dan pusat daripada sering mencampuri urusan dan hal-ehwal kerajaan tempatan.

Kami ingin mengingatkan Presiden PAS sekali lagi, bahawa pilihanraya kerajaan tempatan tidak akan menyebabkan sebarang rusuhan kaum ataupun penafian hak-hak sesuatu masyarakat, tetapi ianya akan menambahbaikan pentadbiran, ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti kerajaan tempatan.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits