Agama, di antara kepercayaan dan kemurniaan mental. Kerpecayaan membabi buta penyebab ekstremis merebak

Semua agama di sekeliling kita boleh didefinasikan kepada dua kategori, iaitu agama yang diamalkan dengan hanya berdasarkan kepercayaan manakala satu lagi adalah agama yang diamalkan berpandukan kepada kemurniaan dan kesedaran mental seseorang penganut atau pengamal.

Mereka yang menganuti sesuatu agama dengan hanya berpandukan kepada kepercayaan semata-mata dan bukannya melalui kemurniaan mental, berpendapat bahawa mereka dapat memperoleh kemurniaan dengan cara yang sedemikian.

Para penganut yang hanya berpandukan kepada kepercayaan sering menegaskan bahawa kemurniaan seseorang tidak akan dapat dicapai dengan hanya bergantung kepada pembaikan moral dan kesempurnaan.

Akan tetapi, kami berpendapat bahawa pergantungan penganut kepada hanya kepercayaan adalah kurang tepat di dalam aspek pengamalan, sebaliknya kemurniaan di dalam pemikiran dan kebijaksanaan kitalah yang dapat membendung gejala fahaman dan kepercayaan kurang tepat ataupun sesat.

Bagi memahami apa itu kebenaran, kepercayaan itu sendiri tidak mampu mewujudkan suatu pemahaman, kesedaran dan seterusnya mewujudkan kemurniaan di dalam pemikiran kita. Masih ramai orang yang menganuti agama mengikut cara yang salah atau sesat kerana mempercayainya dengan tanpa usul periksa, tidak memahaminya dengan mendalam dan tidak rasional kerana mereka takut, jika sekiranya mereka mempersoal kaedah mengenai kepercayaan tersebut, mereka akan dipencilkan, dikecam dan dituduh mengkhianati agama tersebut.

Dan ini adalah seperti apa yang sedang berlaku di dalam negara kita pada hari ini. Mereka yang berkuasa sering memesongkan agama tersebut dan memperalatkannya untuk meluaskan kuasa mereka agar mereka dapat memegang tampuk pemerintahan dengan lebih lama. Rakyat jelata, secara sistematik telah dipecahbelahkan, sesuatu agama dan kaum didiskriminasi, rakyat diberikan penerangan yang tidak tepat dan mengelirukn sebagai suatu strategi pecah dan perintah bagi memastikan rakyat tidak mempersoalkan pemerintah ataupun bangkit membantah kerajaan.

Dalam pada itu, agama tersebut turut disalahgunakan bagi menakut-nakutkan rakyat agar mereka akur dan patuh kepada arahan pemerintah melalui dekri-dekri yang dikeluarkan sebagai peringatan kepada rakyat agar patuh kepada "kepercayaan" agama dan tidak melakukan sebarang "dosa" terhadap pihak kerajaan.

Hakikatnya adalah, sebelum seseorang itu mempercayai dan menerima sebarang maklumat ataupun ajaran, ianya perlu dikaji kesahihannya, diteliti, disiasat, dipersoal, dicuba dan dipertimbangkannya sama ada ianya bersesuaian dengan kehendak seseorang berdasarkan amalan dan kedudukannya. Setelah penelitian yang rapi serta pemikiran secara kritikal dan penyesuaian dapat dipertemukan, maka seseorang itu akan dapat menerima maklumat dan mengamal ajaran agama tersebut dengan penuh keyakinan.

Penggantungan kepada kepercayaan semata-mata sememangnya tidak dapat diterima kerana terdapat banyak kelemahan, sebaliknya realisasi ataupun kesedaran diri seseorang dengan sendirinya akan dapat mempertingkatkan keyakinan dan kemurniaannya terhadap agama yang dianuti. Penelitian dan kajian tidak bermakna penerimaan dan penolakan serta-merta tetapi ianya lebih bertumpu kepada pemahaman yang lebih mendalam melalui pemikiran mengenai kebenaran yang dicarinya itu serta pengalaman yang dialami.

Setiap umat manusia mempunyai minda yang membolehkan seseorang berfikir dengan mendalam, mengkaji, menpersoal dan seterusnya mendapatkan pemahaman dengan yakin. Justeru daripada itu, kita seharusnya menggunakan peluang tersebut untuk berfikir secara bebas dan memahami sesuatu mengikut kesesuaian diri seseorang dengan sewajarnya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pada hari ini masih terdapat ramai orang yang malas, enggan berfikir dengan lebih mendalam, tidak mengendahkan perkara yang menimbulkan persoalan dan enggan memahami rasionalnya sesuatu perkara atau isu, sebaliknya mengambil jalan mudah dengan mempercayai apajua yang diterimanya tanpa usul periksa, sekaligus menyerahkan diri mereka kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dipergunakan dengan sewenang-wenangnya. Orang seperti di atas ini adalah orang tidak ada keyakinan terhadap diri mereka dan sanggup mempercayai secara membabi buta dan dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Dan ini adalah di antara sebab mengapa fahaman pelampau agama dan perkauman atau golongan ekstremis mula merebak dengan cepatnya di seluruh negara kita ini. Ianya berpunca daripada kebanyakan orang yang hanya taksub kepada kepercayaan semata-mata dengan pengaruh dan tohmahan yang disebarkan oleh golongan ekstremis ini dan penerimaan tanpa usul periksa dengan alasan "agama" tersebut berkuasa dan berperanan terhadap umt yang dipimpinnya itu.

Oleh yang demikian, orang ramai haruslah sedar bahawa setiap insan mempunyai daya penghormatan terhadap diri, hak untuk menentukan halatuju diri masing-masing dan bertanggungjawab terhadap dirinya, tindakannya serta kebebasannya. Tidak ada pihak yang berhak untuk menentukan halatuju kita melainkan diri kita sendiri.

Kemurniaan mental di dalam diri kita adalah penting. Janganlah terlalu terikat dengan kepercayaan semata-mata.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits