Kerjasama PRM-PSM masih belum nampak sebarang kemajuan

Sebelum pilihanraya umum ke-13 (PRU13), Parti Rakyat Malaysia (PRM) telah beberapa kali berbincang dan mengumumkan bahawa parti berhaluan kiri tersebut sedang mengusahakan suatu bentuk kerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi sama-sama membantu di dalam PRU13 ataupun PRU yang seterusnya.

Kenyataan mengenai kerjasama PRM-PSM itu juga dipersetujui oleh beberapa pemimpin PSM itu sendiri. Akan tetapi, kenapa perbincangan tersebut masih dijalankan secara tidak rasmi dan begitu juga dengan pengumuman sebelum ini mengenai cadangan kerjasama di dalam bentuk pakatan masih belum lagi berhasil walaupun sudahpun lebih daripada lima tahun lama berunding?

Apakah kedua-dua parti politik yang berfahaman Sosialis itu mempunyai ideologi kiri yang berbeza? Yang difahamkan adalah kedua-dua PSM dan PRM adalah merupakan dua parti berhaluan kiri yang tinggal di negara kita ini dan bilangan keahlian di dalam kedua-dua parti tersebut tidaklah sebesar parti-parti Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) seperti PKR, DAP, Gerakan, MCA, SUPP ataupun PBS.

Oleh kerana PSM dan PRM itu tidaklah sebesar yang kita harapkan, usaha kerjasama tersebut tidaklah sebegitu rumit rupanya, tetapi kenapa pula perbincangan untuk mengadakan suatu gabungan baru itu mengambil masa dengan begitu lama, sedangkan di dalam arena politik yang baru sekarang, kesemua bentuk dasar dan program politik perlulah disegerakan bagi memastikan rakyat dapat menerima mesej, meneliti dan memahami dasar-dasar dan segala program yang diketengahkan.

Jika sekiranya PSM dan PRM memerlukan sokongan rakyat jelata, memerlukan rakyat untuk memahami mengapa ideologi Sosialisme perlu diteruskan di dalam negara kita ini, mereka perlu sama-sama bangkit sebagai sebuah gabungan kiri yang kuat, memainkan peranan aktif mereka sebagai sebuah alternatif kepada PR dan BN, sebagai sebuah kuasa ketiga yang mampu mencabar kuasa-kuasa dominasi PR dan BN, tanpa mengira dengan begitu teliti mengenai perbezaan Sosialisme di antara PSM dan PRM.

Dan jika sekiranya benar-benar terdapat suatu perbezaan di antara Sosialisme PSM dan Sosialisme PRM, itu hanya merupakan suatu perkara yang tidak perlu dipandang secara mendadak kerana kedua-dua parti tersebut masih memerlukan di antara satu sama lain untuk memperkuatkan parti masing-masing.

Sebenarnya, jika ditelitikan dengan lebih mendalam mengenai ideologi Sosialisme, yang jelas adalah fahaman ini menitikberatkan kesamarataan sesama umat manusia di dalam apajua bentuk kegiatan harian mereka, tanpa mengira kaum, agama, darjat ataupun kedudukan. Pembahagian sama rata pendapatan di kalangan masyarakat dan hasil usaha koperasi juga adalah merupakan tajuk utama di dalam pembikinan satu masyarakat yang Sosialis.

Yang berbeza itu cuma pendapat sesetengah pemimpin utama gerakan Sosialis sedunia yang hanya perlu kita ambil sebagai rujukan dan bukannya sebagai suatu fahaman untuk membezakan diri kita dengan gerakan Sosialis yang lain.

Jangan lupa, Sosialisme tidak mempunyai aliran dan tidak menggalakkan aliran-aliran yang berbeza wujud di kalangan para pengikutnya. Tetapi kenapa pula sekarang wujud pelbagai bentuk aliran Sosialisme sehinggakan ianya menyukarkan lagi sebarang bentuk kerjasama di antara parti-parti berhaluan kiri?

Jika parti-parti yang berhaluan kiri di negara kita masih berbalah di antara satu sama lain, bagaimana pula mereka akan dapat mengketengahkan manifesto mereka untuk penelitian rakyat jelata? Rakyat jelata akan lebih keliru jika terdapat dua bentuk manifesto Sosialisme yang berbeza.

Ingin kami menyeru para pemimpin PRM dan PSM, usah membeza dengan sangat ketara mengenai aliran Sosialisme yang berlainan. Di dalam suasana politik dalam negara kita pada hari ini, kerjasama erat di anntara PRM dan PSM adalah amat penting di dalam meneruskan kesinambungan Sosialisme di negara ini.

Ingatlah hanya satu perkara pokok, Utamakan Sosialisme, dan bukannya aliran-aliran yang berlainan. Wujudnya aliran-aliran yang berbeza itu hanya pendapat-pendapat, dan bukannya ideologi yang sebenarnya.

Sekelip mata sahaja PRU14 dan PRU15 akan berlalu dengan begitu sahaja.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits