PSM dan PRM perlu bentuk NGO dan Kelab-kelab Sosialis

Ekoran daripada pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (UUCA) oleh pihak kerajaan, bagi membenarkan pelajar-pelajar universiti, kolej universiti dan kolej untuk menyertai mana-mana parti politik atau menubuhkan pertubuhan/persatuan di luar kampus, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) harus mengambil kesempatan hasil daripada kelonggaran Akta UUCA itu untuk lebih mendekati golongan muda-mudi dan para pelajar.

Daripada kajian yang telah kita laksanakan pada bulan yang lalu, kita telah dapati bahawa golongan muda-mudi dan para pelajar enggan menyertai parti-parti politik walaupun mereka menyokong ideologi dan perjuangan yang diketengahkan oleh parti-parti tersebut oleh kerana beberapa sebab seperti politik kepartian yang berpuak-puak, terlalu banyak isu-isu politik daripada isu-isu yang berkaitan dasar-dasar untuk kepentingan rakyat, ahli-ahli politik lebih mementingkan kedudukan masing-masing, tidak ada harapan dengan hanya setakat menjadi penyokong sahaja, kedudukan dan ketidakberkesanan struktur dan fungsi parlimen di dalam menentukan halatuju negara kita.

Oleh yang demikian, PSM dan PRM harus mengambil langkah-langkah seterusnya untuk mendekati golongan muda dan para pelajar melalui penubuhan dan pembentukan kelab-kelab sosialis atau rakyat bagi menarik minat golongan-golongan tersebut untuk memahami dan menyertai parti politik.

Penubuhan kelab-kelab rakyat atau sosialis tersebut bolehlah dijalankan di kampus universiti, universiti kolej dan kolej, manakala di luar kampus pula, ianya boleh dilakukan melalui pembentukan NGO-NGO yang berunsurkan perjuangan rakyat, sivil, hak asasi kemanusiaan serta alam sekitar. Pendek kata, PSM dan PRM juga perlu mempunyai NGO-NGO dan kelab-kelab yang bersekutu dengan parti-parti tersebut agar ianya dapat lebih mendekati hati golongan-golongan muda ini melalui perjuangan yang tidak menampakkan sangat tujuan berpolitik, tetapi lebih memberikan penekanan terhadap perjuangan untuk menegakkan keadilan dari segi kemanusiaan, sivil, hak asasi dan alam sekitar.

Kita tengoklah contoh-contoh di United Kingdom, umpamanya, Parti Buruh melalui pertubuhan-pertubuhan sekutunya seperti, Labour-Left, Compass, Fabian Society, Progress dan Labour-Marxist telah berjaya menarik ramai penyokong-penyokong untuk parti tersebut tanpa perlu mengambil mereka sebagai ahli-ahli penuh Parti Buruh.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa majoriti ahli-ahli dalam Labour-Left, Compass, Fabian Society, Progress dan Labour-Marxist sekarang adalah juga merupakan ahli Parti Buruh oleh kerana sokongan massa parti tersebut adalah luas dan kukuh. Untuk peringkat permulaan, Pihak PSM dan PRM juga boleh bermula daripada pertubuhan-pertubuhan dan kelab-kelab sedemikian bagi mengukuhkan asas perjuangan parti masing-masing. PSM dan PRM tidak perlu mempunyai ahli-ahli yang terlalu ramai, tetapi perlu mengorak langkah yang lebih efektif di dalam mengembang fahaman dan sayapnya melalui kegiatan-kegiatan ala-NGO.

Jika sekiranya tren golongan-golongan muda ini telah berubah daripada penglibatan secara langsung di dalam politik kepartian kepada perjuangan sivil dan hak melalui NGO dan kelab-kelab massa, PSM dan PRM perlu berubah corak politik mereka untuk bergerak di dalam arena NGO pula.

Kita semua telahpun mengetahui bagaimana PSM ditikam dari belakang sewaktu pilihanraya umum yang lalui yang mana ianya telah menyebabkan kekalahan beberapa calon yang bertanding, termasuk pengerusi partinya, Dr Nasir Hashim. Oleh itu, PSM dan PRM perlu mengambil iktibar daripada pengalaman pahit tersebut dengan mengubah corak politik mereka agar ianya lebih dekat dengan rakyat dan masyarakat setempat.

Jika diizinkan oleh sumber-sumber mereka, maka PSM dan PRM bolehlah membentuk NGO-NGO serta kelab-kelab mereka sendiri yang bercorakkan agenda kemasyarakatan dan rakyat. Ini adalah merupakan satu-satunya cara politik yang baru yang masih belum diterokai sepenuhnya selama ini, sementara ianya telahpun dilaksanakan di kebanyakan negara-negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zeland, sebagai contoh.

Dengan ini, kami berharap PSM dan PRM akan dapat terus berjuang demi kepentingan rakyat dan negara agar keadilan sosial dan kemasyarakatan dapat dikecapi di masa yang akan datang.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits