Parti Politik Di Mata Golongan Muda

Di dalam Kongres Nasional Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang diadakan pada 17hb November 2013 yang lalu, Presiden PRM, Dr Rohana Ariffin di dalam ucapan dasarnya ada menyebut aliran golongan muda pada hari ini tidak berminat untuk menyertai parti-parti politik. Sebaliknya, golongan ini lebih menumpukan perhatian mereka terhadap pertubuhan-pertubuhan sivil dan kumpulan-kumpulan pendesak (civil societies and pressure groups).

Kenyataan Dr Rohana itu ada kebenarannya. Daripada kajian yang kami laksanakan baru-baru ini, aliran tersebut telah mempengaruhi majoriti golongan muda kerana beberapa faktor yang telah dan sedang berlaku di dalam parti-parti politik, baik di sebelah pihak kerajaan (Barisan Nasional), mahupun di sebelah pihak pembangkang (Pakatan Rakyat, dan sebagainya).

Antara faktor utama yang menjadi perhatian yang mempengaruhi majoriti golongan muda untuk tidak berkecimpungan di dalam parti-parti politik adalah kegiatan berpuak-puak di dalam parti-parti politik utama yang kian menular di dalam parti masing-masing. Bukan sahaja Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP ataupun PBS dan LDP (BN), bahkan budaya berpuak-puak tersebut juga turut menular di dalam PKR, DAP dan PAS (Pakatan).

Budaya berpuak-puak di kalangan parti-parti politik tersebut juga telah menyebabkan para pemimpin parti asyik berpolitik sahaja pada setiap hari daripada menguruskan hal-hal yang berkenaan dengan dasar-dasar umum (public policy) yang melibatkan rakyat jelata dan negara pada umumnya. Bukan sahaja parti-parti besar berdepan dengan budaya puak-puak yang bersaing antara satu sama lain, bahkan parti-parti yang kecil turut mengalami nasib yang sama.

Pada pendapat majoriti golongan muda ini, budaya berpuak-puak di dalam parti-parti politik ini telah menjadi satu masalah yang serius dan menyebabkan para pemimpin parti asyik berpolitik sahaja pada setiap hari inilah yang menyebabkan mereka terasa teragak-agak untuk melibatkan diri mereka secara langsung dengan parti-parti tersebut, sebaliknya memilih untuk menyokong parti-parti sokongan mereka dari luar dan sebaliknya bergiat di dalam NGO-NGO yang berunsurkan perjuangan sivil dan pendesak terhadap isu-isu yang tertentu.

Ini adalah merupakan satu trend baru yang bakal memberikan cabaran kepada setiap parti politik yang kian kehausan golongan-golongan muda.

Selain daripada itu, tindakan golongan-golongan konservatif di dalam parti-parti politik khususnya di Umno, MCA, MIC, Gerakan, LDP, SUPP, PBS, PAS, PKR dan sebagainya yang enggan melepaskan kedudukan masing-masing untuk memberi laluan dan peluang kepada generasi baru, turut menjadi penyebab utama mengapa golongan muda semakin menjauhi diri mereka daripada melibatkan diri mereka secara langsung dengan menyertai parti-parti politik sebagai ahli.

Daripada kajian kami juga, adalah juga didapati bahawa politik perkauman dan berunsurkan agama yang sering diketengahkan oleh parti-parti politik yang tertentu turut menyebabkan majoriti golongan muda tidak lagi berminat untuk menjadi ahli parti-parti politik. Bagi golongan ini, politik yang berunsurkan perkauman dan agama adalah sesuatu yang telah ketinggalan zaman. Bagi mereka, sebagai parti politik, para pemimpin parti seharusnya lebih menumpukan perhatian mereka terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan kebajikan rakyat jelata, menjadi penentu dasar-dasar umum yang efektif.

Selain daripada itu, menurut kebanyakan dari kalangan golongan muda ini, mereka turut kesal dengan keadaan yang sedang berjalan di dalam parlimen sekarang. Menurut mereka parlimen tidak berfungsi mengikut apa yang sepatutnya. Parlimen kini telah menjadi medan pihak pemerintah untuk melaksanakan undang-undang pilihan mereka, perdebatan di kalangan ahli-ahli parlimen dihadkan, isu ahli-ahli parlimen yang lebih suka berdebat mengenai keperibadian dan seksualiti seseorang, membangkit isu-insu yang berunsurkan perkauman, serta penolakan perbahasan usul-usul penting yang sering dianggap tidak penting.

Pada pendapat kalangan golongan muda ini juga, parlimen negara kita telah tidak berfungsi dengan sempurna lagi. Ianya hanya wujud seperti langsir yang bergantung sebagai hiasan semata-mata.

Oleh itu, apa yang parti-parti politik harus lakukan bagi menarik semula minat-minat golongan muda ini untuk berkecimpungan secara langsung dengan politik kepartian? Yang parti-parti politik harus lakukan adalah bergerak ke arah NGO-NGO yang mempunyai arah dan aliran yang menyokong perjuangan politik masing-masing.

Selain daripada itu, parti-parti politik yang ada pada hari ini seharusnya mengorak langkah dengan meminda struktur-struktur di dalam parti masing-masing agar mereka dapat menerima NGO-NGO tersebut sebagai pertubuhan-pertubuhan bersekutu ataupun ahli gabungan (associate members or organizational members). Ini adalah merupakan cara baru parti-parti politik untuk mengembangkan pengaruh dan sayap mereka. Ianya disebut politik kepartian moden.

Marilah kita lihat contoh di United Kingdom umpamanya. Parti Buruh (Labour Party) yang bergantung penuh kepada pertubuhan-pertubuhan gabungannya seperti Fabian Society, Compass, Labour-Marxist, Labour-Left, Progress, kelab-kelab pelajar universiti dan kesatuan-kesatuan sekerja untuk meraih sokongan daripada rakyat jelata. Begitu juga dengan lawannya Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat yang turut menggunakan kaedah yang sama.

Selain daripada itu, parti-parti politik di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Canada juga telah menggunakan kaedah tersebut untuk mengembangkan pengaruh mereka (bukannya mengembangkan jumlah keahlian parti mereka) di kalangan rakyat dan cara tersebut terbukti berjaya.

Oleh yang demikian, walaupun kaedah tersebut mungkin merupakan sesuatu yang baru di negara kita ini, parti-parti politik di sini haruslah mengorak langkah ke arah tersebut jika sekiranya mereka ingin terus mengekalkan pengaruh mereka. Politik kepartian yang bercirikan keahlian yang ramai sudah tidak lagi penting di kalangan golongan muda.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits