Pembatalan peruntukan semua ahli parlimen Pakatan Harapan dan Bersatu yang menyokong Mahathir

Baru-baru ini beberapa ahli parlimen Pakatan Harapan dan Bersatu yang menyokong Tun Dr Mahathir telah dimaklumkan bahawa peruntukan parlimen untuk kawasan masing-masing telah dibatalkan oleh Unit Pelarasan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU-JPM).

Kami ingin mempersoal tindakan perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional, kenapa beliau bertindak membatalkan peruntukan kepada semua ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan dan Bersatu yang menyokong tidak sehaluan dengannya?

Kenapa Mhyiddin bertindak demikian? Adakah beliau bermotifkan dendam semata-mata? Kerajaan Perikatan Nasional yang merangkumi Umno, PAS dan Bersatu perlu ingat bahawa, sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan, semua ahli-ahli parlimen pembangkang ketika itu, Umno dan PAS turut diberikan peruntukan untuk kawasan parlimen yang mereka duduki, tetapi kenapa sekarang, apabila Perikatan Nasional mengambil-alih tampuk pemerintahan, cara dan layanan tersebut telah berubah kepada yang asal, yakni seperti zaman pemerintahan Umno-BN dahulu.

Untuk pengetahuan, ahli-ahli parlimen baik kerajaan mahupun pembangkang adalah dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya umum. Justeru itu, semua ahli-ahli parlimen adalah layak menerima peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk pembangunan dan penyaluran bantuan di kawasan parlimen masing-masing. Jadi, adalah menyalahi kehendak rakyat dan pengundi jika sekiranya kerajaan menafikan penyaluran peruntukan ke kawasan-kawasan parlimen di mana ahli-ahli parlimen yang mereka pilih adalah dari kalangan parti pembangkang.

Tindakan menafikan peruntukan kepada kawasan parlimen tersebut juga membelakangi demokrasi dan semangat berparlimen di negara ini.

Sebagai peringatan kepada Muhyiddin dan barisan kabinet menterinya, kerajaan Perikatan Nasional adalah merupakan sebuah kerajaan yang terbentuk hasil daripada satu rampasan kuasa dan ianya merupakan kerajaan belakang pintu yang terbentuk bukan atas kehendak rakyat.

Oleh yang demikian, kerajaan Perikatan Nasional hendaklah segera membatalkan penafian peruntukan parlimen tersebut dengan demi menghormati amalan demokrasi berparlimen di dalam negara ini.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits