Pilihanraya kerajaan tempatan wajar dipulihkan dengan segera

Ramai di antara kita pada hari ini yang tidak pernah melihat, membaca ataupun mengkaji tentang apakah itu pilihanraya kerajaan tempatan.

Kerajaan tempatan tidaklah merujuk kepada hanya dewan bandaraya, majlis perbandaran, majlis daerah semata-mata. Kerajaan tempatan juga meliputi pentadbiran di peringkat kampung dan taman perumahan seperti rukun tetangga, majlis pengurusan komuniti kampung (dahulunya dikenali sebagai jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung) dan institusi penghulu.

Ini bermakna, institusi kerajaan tempatan ini merangkumi suatu aspek pengurusan kawasan yang luas dan bukan hanya terhad kepada dewan bandaraya ataupun majlis perbandaran. Inilah satu-satunya salahfaham di kalangan pemimpin yang harus diperbetulkan.

Persoalan yang seterusnya adalah, kenapa ada di kalangan pemimpin, setelah berkuasa menyatakan kepada umum bahawa pilihanraya kerajaan tempatan ini akan mengakibatkan perbezaan antara kaum menjadi semakin ketara kerana terdapat perbezaan purata penduduk di antara yang berada di bandar dan kampung?

Apabila pilihanraya kerajaan tempatan dilaksanakan, sempadan dan zon tanggungjawab di antara dewan bandaraya, majlis perbandaran, majlis daerah, majlis pengurusan komuniti kampung dan institusi penghulu harus ditentukan semula bagi memastikan kawasan dan tanggungjawab masing-masing. Ianya hampir sama dengan pembahagian sempadan pilihanraya bagi kawasan parlimen dan dewan undangan negeri, yang berbeza mungkin ianya punyai saiz yang lebih kecil dan padat.

Untuk kepentingan umum dan bagi memastikan akauntabiliti pengurusan kerajaan tempatan pilihanraya tersebut harus dilaksanakan bagi memastikan keseluruhan institusi tersebut bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat jelata dari segi pengurusan sampah, perparitan, jalan-jalanraya, percukaian, tempat letak kereta, pasar awam, tandas awam, taman permainan, pusat asuhan, pengurusan padang awam, taman rekreasi dan sebagainya.

Pilihanraya kerajaan tempatan, apabila diteliti, dirancang dan dilaksanakan dengan cara yang betul tidak akan mengakibatkan sebarang konflik perkauman seperti yang didakwa beberapa pemimpin kerajaan baru-baru ini.

Pilihanraya kerajaan tempatan adalah bertujuan memastikan akauntabiliti perancangan, pengurusan, perlaksanaan dan penguatkuasaan di perinngkat tersebut di mana rakyat jelata harus diberi suatu ruang perundingan (consultation) yang seluasnya agar hak demokrasi dan kepentingan rakat diperingkat tempatan dapat dipelihara dengan sewajarnya.

Jika sekiranya para pemimpin masih menggunakan alasan konflik kaum akan berlaku jika sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan diadakan, sampai bilakah rakyat kita akan berada di tahap sedemikian dan sampai bilakah konflik kaum tersebut akan hilang di mata kita? Kenapa pula kita masih melihat beberapa aspek dari segi sesuatu kaum? Kenapa kita masih bimbang dengan “kuasa” sesuatu kaum, sama ada ianya akan semakin besar ataupun menjadi lebih pudar?

Bilakah rakyat kita akan mencapai dan menjadi satu Bangsa Malaysia yang sempurna?

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits