Hidupkan semula pilihanraya kerajaan tempatan

Akhirnya, rakyat Malaysia telah memilih perubhahan dengan mengundi memastikan kekalahan Barisan Nasional (BN) di dalam pilihanraya umum ke-14 (PRU14) yang lalu yang turut dikenali dengan singkatannya 905. BN telah memerintah negara ini lebih daripada 60 tahun lamanya dan kini terpaksa akur kepada kehendak rakyat yang inginkan mereka menduduki barisan pembangkang pada penggal ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru di Putrajaya, tanpa membuang masa terus melaksanakan beberapa siri perubahan seperti yang telah dijanjikan di dalam kempen PRU14 yang lalu.

Sehinggalah pada PRU14 ini, rakyat Malaysia hanya keluar mengundi untuk memilih wakil-wakil merek bagi peringkat parlimen dan dewan-dewan undangan negeri (DUN). Di negara lain, bukan sahaja pilihanraya umum diadakan untuk parlimen dan DUN, bahkan ianya juga diadakan bagi memilih kerajaan-kerajaan tempatan.

Ahli-ahli Dewan-dewan Bandaraya, Majlis-majlis Perbandaran dan Majlis-majlis Daerah, semuanya adalah dipilih secara langsung oleh rakyat. Bukan itu sahaja, Datuk-datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis turut dipilih melalui peti undi. Negara contoh yang paling hampir dengan negara kita adalah Indonesia yang kini sedang menghadapi proses pilihanraya bagi peringkat wilayah, kotaraya, bandar dan pekan di seluruh republik itu.

Sebuah lagi negara jiran, yakni Singapura yang mengotakan tanggungjawab kepada setiap ahli-ahli parlimen yang pilih untuk menguruskan majlis-majlis bandaran (town council) di kawasan parlimen masing-masing. Majlis-majlis bandaran di Singapura adalah agak unik kerana ianya meliputi setiap kawasan perumahan dan pangsapuri di republik itu yang melihat penglibatan secara aktif di kalangan penduduk bagi memastikan kawasan-kawasan kediaman mereka terpelihara dan diuruskan dengan baik.

Di dalam manifesto PH, ada menyebut usaha mereka untuk menjadikan institusi kerajaan tempatan lebih cekap dan telus di dalam pengurusan dan perlaksanaan dasarnya kepada rakyat jelata. Dengan cara apa? Itu sudah tentunya melalui pilihanraya kerajaan tempatan bagi memilih ahli-ahli majlis, dewan bandaraya, datuk-datuk bandar dan yang dipertua majlis agar prestasi mereka ini dapat dipantau dari segi keberkesanan pengurusan kerajaan-kerajaan tempatan.

Malah, dua parti komponen PH, iaitu PKR dan DAP juga pernah mempelopori agenda tersebut agar demokrasi dapat diperkasakan. Sejak berlalunya PRU14, ramai ahli-ahli parlimen telah juga mengulangi seruan mereka secara terbuka agar pilihanraya kerajaan tempatan dapat dipulihkan sepenuhnya dengan segera agar keberkesanan pengurusan dan pentadbiran di peringkat tersebut dapat dipertingkatkan demi kebaikan rakyat jelata.

Kita perlukan kerajaan-kerajaan tempatan yang dipilih melalui pilihanraya agar datuk-datuk bandar, yang dipertua majlis, ahli-ahli majlis tempatan dapat menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dengan memastikan ketelusan di dalam perlaksanaan dasar di peringkat tersebut.

Sehingga pada hari ini, negara kita masih belum mengiktiraf melalui perundangan, mahupun perlembagaan demokrasi di peringkat kerajaan tempatan kerana proses tersebut telah lama dihalang melalui pindaan Akta Kerajaan Tempatan dalam tahun 1970an ekoran kebimbangan kerajaan BN pada masa itu kerajaan-kerajaan tempatan yang jatuh ke tangan parti-parti pembangkang tidak akan “bekerjasama” dengan kerajaan-kerajaan negeri dan pusat yang ditadbir oleh BN.

Akibat daripada itu, ketidakcekapan di dalam pengursan kerajaan-kerajaan tempatan berleluasa, masalah komunikasi di antara rakyat dan kerajaan-kerajaan tempatan, ahli-ahli majlis tempatan yang lebih menunjukkan ketaatan mereka kepada parti mereka daripada menjalankan tanggungjawab mereka untuk rakyat, masalah-masalah tempatan tidak dapat diselesaikan dengan berkesan kerana campurtangan tokoh-tokoh politik yang tertentu, monopoli terhadap beberapa jenis perkhidmatan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat dan ketiadaan rundingan terus dengan rakyat mengenai perlaksanaan dasar yang tidak disenangi oleh rakyat jelata.

Dengan adanya pilihanraya kerajaan tempatan ianya akan dapat memastikan kepentingan rakyat diutamakan di peringkat tersebut seperti penyelesaian isu-isu semasa yang sering mempengaruhi hidupan harian orang ramai yakni, kutipan sampah, peniaga dan penjaja, taman rekreasi, taman perumahan, perkampungan, lampu jalanan, pembaikan atau penambahbaikan jalan-jalanraya, isu-isu pengairan dan salliran, pasar-pasar awam dan lain-lain kemudahan awam.

Pilihanraya kerajaan tempatan juga boleh dijadikan sebagai suatu saluran buat rakyat jelata untuk memberikan maklumbalas mereka kepada kepimpinan kerajaan tempatan tahap keberkesanan khidmat mereka agar perubahan, penambahbaikan dan perlaksanaan dasar-dasar yang lebih berkesan bagi menyelesaikan isu-isu yang berkait rapat dengan urusan harian di peringkat tersebut.

Dalam pada itu, PAS dan UMNO juga tidak seharusnya asyik membangkitkan soal kaum dan agama yang dilihat ingin menggugat perlaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan kerana isu-isu kaum dan agama yang sering diungkit oleh mereka tidak melihat ada kebenarannya terhadap dakwaan-dakwaan mereka, sebaliknya lebih kepada ingin memecahbelahkan perpaduan rakyat jelata.

PRU14 sememangnya telah mencatat suatu sejarah di mana seramai 12,299,514 rakyat Malaysia telah keluar mengundi dan peratusannya adalah 82.30%, suatu pencapaian yang tidak diduga memandangkan PRU14 diadakan pada pertengahan minggu, jika dibandingkan dengan PRU13 yang lalu di mana hanya 11.257 juta rakyat yang keluar mengundi pada hari yang ditetapkan pada hujung minggu.

Ini jelas menunjukkan bahawa kini lebih ramai rakyat negara ini semakin peka dan menunjukkan minat untuk lebih cenderung di dalam hal-ehwal negara, pentadbiran, parti memerintah dan keberkesanan perlaksanaan dasar dengan memastikan agar undi mereka dapat disedari oleh para pemimpin politik, dan kebebasan suara terjamin.

Kepekaan rakyat jelata yang semakin meningkat pada hari ini turut membuktikan keinginan mereka agar demokrasi dapat diperluaskan di peringkat kerajaan tempatan. Kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan akan hanya dapat diadakan dalam masa dua, tiga tahun yang akan datang adalah tidak dapat diterima kerana proses perubahan tersebut mengambil masa yang telalu lama. Sebaliknya, ianya perlu dilaksanakan di dalam masa yang terdekat.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Seek for quick success and instant benefits

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?