Apakah motif sebenar dan halatuju para perosak undi?

Baru-baru ini timbul pula suatu kempen yang menggalakkan rakyat jelata agar merosakkan undi mereka di dalam pilihanraya umum yang akan datang dengan tidak mengundi mana-mana pihak, yakni merosakkan kertas-kertas undi mereka.

Kempen undi rosak tersebut dipimpin oleh Maryam Lee, seorang ahli jawatankuasa Gabungan Kiri Malaysia (Left Coalition Malaysia) yang turut disertai oleh beberapa orang ahli gabungan tersebut yang bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada rakyat jelata bertapa tidak tentu arahnya halatuju politik di dalam negara kita pada hari ini.

Negara kita sudah pun lama “dibinasakan” oleh Barisan Nasional dan para pemimpinnya pada hari ini. Dan kita juga telah menyedari bahawa gabungan parti-parti pembangkang Pakatan Harapan juga telahpun mengumumkan barisan kepimpinannya yang bakal membawa gabungan parti-parti pembangkang itu menghadapi BN pada pilihanraya umum yang akan datang.

Sewaktu kepimpinan PH diketengahkan di kalangan umum, ramai yang terkejut, gembira dan malah ada juga yang tidak berpuashati, berdukacita kerana PH dikatakan “gagal” menampilkan barisan pemimpin yang benar-benar akan membawa harapan kepada negara kita.

Apatah lagi pilihan rakyat sekarang. Yang paling buruk, parah dan busuk sekali adalah BN, manakala yang dikatakan “tidak seberapa pun” adalah PH, telah banyak membuktikan kewibawaannya di Selangor dan Pulau Pinang walaupun terdapat sedikit sebanyak percaturan antara mereka, kerana mereka satu-satunya alternatif yang paling kuat yang mampu menghadapi BN pada hari ini. Ini kan demokrasi!

Apakah matlamat yang sebenarnya parti komponen Gabungan Kiri Malaysia, iaitu Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang hanya merancang untuk bertanding 2.5% sahaja campuran kawasan-kawasan parlimen dan dewan undangan negeri sedangkan mereka beria-ia inginkan perubahan yang berpandukan dasar berhaluan kiri seperti yang tertera di dalam manifesto Gabungan Kiri Malaysia?

Selain daripada itu, apakah motif dan kaitan yang sebenarnya Gabungan Kiri Malaysia dalam mempelopori kempen undi rosak sementara ianya juga telah mengketengahkan manifestonya untuk pilihanraya umum yang akan datang? Dan apakah peranan dan manfaat PSM di sini di dalam sokongannya terhadap kempen undi rosak tersebut? Kait rapat di antara PSM dan Gabungan Kiri Malaysia adalah jelas sekali kerana PSM adalah parti komponen gabungan tersebut, tetapi apabila timbulnya kempen undi rosak tersebut daripada gabungan yang sama, apakah yang dapat dicapai oleh PSM sebenarnya masih kabur di mata rakyat.

Jadi adakah untuk kawasan-kawasan lain yang PSM tidak bertanding, PSM dan Gabungan Kiri Malaysia ingin menggesa rakyat jelata agar merosakkan undi mereka oleh kerana PSM tidak mampu berhadapan dengan BN, PH dan Pas serta menunjukkan “protesnya” terhadap sistem yang tidak menyebelahinya buat masa kini?

Apakah PSM dapat menjadi suatu “king maker” yang berkesan apabila undi-undi dapat dirosakkan dengan jayanya di seluruh negara.

Apakah bila PSM benar-benar dapat menjadi “king maker” yang tersendiri di dalam sesebuah parlimen tergantung (hung parliament), dapatkah PSM mengketengahkan manifestonya sebagai “syarat” berunding dengan hanya berpandukan kepada “kekuatan” 2.5% mereka, sekiranya ianya berjaya diperolehinya”?

Adakah 2.5% itu merupakan suatu kekuatan yang berkesan buat PSM bagi merunding sama ada dengan BN ataupun PH? Andainya BN telah bersetuju secara helah dengan manifesto yang diketengahkan oleh PSM dan Gabungan Kiri Malaysia, dan PSM telah menerimanya tanpa mengetahui hal yang sebenarnya di sebalik BN, adakah PSM akan menyertai BN dalam pembentukan kerajaan yang baru?

Ada beberapa perkara di sini yang PSM dan Gabungan Kiri Malaysia perlu melihat dan menilainya secara terbuka dan bukannya berdasar emosi dan kepentingan diri mereka.

Memang kalaupun timbulnya sebuah parlimen tergantung (hung parliament) selepas pilihanraya umum, itupun adalah suatu bentuk demokrasi yang sejagat di mana kedua-dua pihak, parti-parti yang memerintah dan parti-parti pembangkang akan bersungguh-sungguh di dalam menunaikan tanggungjawab mereka bagi memenuhi kehendak dan permintaan rakyat jelata. Akan tetapi, apabila timbul pula PSM ataupun Pas sebagai suatu bentuk “king maker” yang hanya lebih mementingkan ideologi atau agama masing-masing daripada hal-ehwal negara, maka kedudukan tersebut dijangka akan lebih menggugat kestabilan politik negara daripada mendatangkan suatu amalan demokrasi yang sihat.

Yang kedua, adakah PSM mempunyai perancangan di masa hadapan untuk menjadi kerajaan di suatu hari nanti? Kemungkinan ada, kemungkinan tidak terlintas di dalam pemikiran mereka. PSM ingin bertanding di dalam pilihanraya umum yang akan datang dan telah menggunakan manifesto Gabungan Kiri Malaysia sebagai asas untuk mereka “mara ke hadapan” dan mendapatkan sokongan rakyat di dalam pilihanraya umum yang dijangka diadakan tidak lama lagi. Jika sekiranya PSM inginkan suatu perubahan yang berskala besar berdasarkan ideologi kiri melalui manifestonya itu, kenapa tidak bertanding di seluruh negara, bertanding di lebih banyak kawasan bagi menunjukkan komitmennya untuk memperkenalkan “alternatif kiri”nya kepada rakyat jelata dan negara?

Langkah PSM dan Gabungan Kiri Malaysia dengan hanya mengajak parti-parti lain untuk menyokong manifestonya adalah juga tidak wajar kerana parti-parti politik yang lain turut mempunyai manifesto, dasar dan ciri-cirinya yang tersendiri mengikut ideologi dan fahaman masing-masing. Jika sekiranya PSM telah mengambil keputusan untuk bersendirian dengan caranya yang tersendiri seperti yang diumumkan oleh mereka pada tahun yang lepas, mereka sepatutnya “berjuang habis-habisan” dan tidak berpaling pula untuk meminta sokongan parti-parti politik lain di saat-saat akhir kerana tindakan mereka ini akan menjejaskan reputasi mereka di mata umum.

Seterusnya, negara kita kini sedang dilanda krisis ketidakpercayaan kerana kerajaan BN di Putrajaya pada hari ini banyak mengamalkan rasuah, penyalahgunaan kuasa berleluasa, penggelapan wang kerajaan berlaku secara terbuka, malah yang lebih memburukkan lagi keadaan sekarang adalah pemimpin nombor satu negara kini digelar pencuri nombor satu di dalam benua ini, berikutan pembabitan beliau di dalam skandal rasuah, pengambilan wang kerajaan secara terbuka dan penglibatan beliau di dalam pengubahan wang haram.

Berikutan krisis tersebut, rakyat jelata terpaksa menanggung akibat perbuatan pemimpin tersebut dengan terpaksa berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, inflasi yang semakin meningkat, peningkatan kadar jenayah, kadar cukai yang semakin meningkat dan pelbagai lagi karenah yang sedang memudaratkan rakyat jelata.

Persoalannya adakah PSM dan Gabungan Kiri Malaysia melihat daripada sudut kepentingan negara? Jawapannya adalah tidak kerana, apa yang sering diketengahkan oleh mereka para hari ini adalah hanya satu perempat daripada perkara di atas yang mana masalahnya akan berulang berkali-kali gandanya jika sekiranya dasar pemerintahan negara ini tidak diubah dengan segera. Pendek kata PSM dan Ganbungan Kiri Malaysia akan hanya asyik menyelesaikan masalah yang sama di dalam suatu jangkamasa yang panjang jika mereka hanya asyik menumpukan kepada suatu bentuk pemerhatian dan penyelesaian sahaja.

Adakah ini satu-satunya cara penyelesaian yang dipelopori oleh para perosak undi melalui kempen undi rosak mereka? Adakah mereka telah bayangkan bahawa dengan adanya undi rosak maka apajua masalah negara kita dapat diselesaikan, sistem pemerintahan negara kita dapat dirombak dan negara kita akan bebas daripada rasuah, ketidakstabilan ekonomi dan inflasi?

Dengan berlakunya undi-undi rosak di seluruh negara “kerajaan BN akan tumbang”, kerajaan PH juga akan tumbang”, adakah PSM akan dapat menjadi kerajaan dengan hanya sebilangan kecil “kerusi-kerusi yang dimenangi” sekiranya BN dan PH gagal membentuk kerajaan akibat daripada undi-undi rosak di seluruh negara?

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Seek for quick success and instant benefits

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?