Fungsi Kabinet Bayangan dan Masalahnya di negara ini

Tajuk mengenai pembentukan kabinet bayangan (shadow cabinet) timbul sekali lagi setelah Datuk Ser Dr Wan Azizah Ismail mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Permatang Pauh yang baru dan seterusnya menerima perlantikan sebagai ketua pembangkang parlimen yang baru menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehingga pada hari ini, ramai di antara kita masih belum faham ataupun kurang jelas mengenai apakah itu kabinet bayangan sebenarnya dan apakah fungsi-fungsinya di barisan parti-parti pembangkang di dalam parlimen.

Kabinet bayangan adalah sebuah institusi yang dibentuk dan dikelolakan oleh barisan parti-parti pembangkang di dalam parlimen ataupun dewan perwakilan. Ianya berfungsi untuk memantau dan menyemak imbang (check and balance) segala perlaksanaan dan perjalanan pentadbiran kabinet kerajaan yang ditubuhkan oleh parti-parti yang memerintah.

Biasanya, kabinet bayangan dibentuk seiring dengan barisan kabinet kerajaan yang ditubuhkan mengikut portfolio-portfolio kementerian yang telah dinamakan, seperti kewangan, hal-ehwal luar, pertahanan, perdagangan antarabangsa dan perindustrian, hal-ehwal dalam negeri, pertanian dan industri asas tani, pengangkutan dan sebagainya.

Untuk pengetahuan umum, kabinet bayangan di negara kita ini tidak diiktiraf langsung sebagai suatu institusi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak daripada tahun 1957. Kerajaan BN sehingga pada hari ini sekadar mengiktiraf jawatan ketua pembangkang parlimen.

Ketiadaan pengiktirafan oleh kerajaan BN selama ini juga telah melihat ahli-ahli parlimen parti-parti pembangkang tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk menjalankan kajian dan penyelidikan di dalam menyempurnakan tanggungjawab mereka untuk memantau dan menyemak imbang perlaksanaan dan perjalanan pentadbiran kerajaan BN.

Berbanding dengan rakan sejawat mereka di England, New Zealand, Canada dan Australia sebagai contoh, institusi pembangkang di negara-negara tersebut diiktiraf sepenuhnya dengan gelaran “Her Majesty’s Loyal Opposition” dan kesemua ahli-ahli parlimen yang menduduki kabinet bayangan sebagai menteri-menteri bayangan (shadow ministers) diberikan elaun dan peruntukan yang secukup-cukupnya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka untuk memantau dan menyemak imbang kerajaan dan parti yang memerintah.

Walaubagaimanapun, kabinet bayangan di negara kita ada menonjolkan kewujudannya secara tidak rasmi sejak dari awal lagi berdasarkan inisiatif parti-parti pembangkang yang mempunyai bilang kerusi yang paling banyak di dalam parlimen.

Sewaktu ahli parlimen DAP Lim Kit Siang menjadi ketua pembangkang parlimen, beliau ada mewujudkan secara tidak rasmi satu barisan jurucakap-jurucakap mengikut portfolio bagi memantau dan menyemak imbang kementerian-kementerian kerajaan dan ianya ada menunjukkan keberkesanannya dengan terlihatnya pelbagai perdebatan-perdebatan yang teratur di antara ahli-ahli parlimen pembangkang dan kerajaan di waktu itu.

Selepas pilihanraya umum (PRU) ke-12 pada tahun 2008, dan terbentuknya satu pakatan pembangkang yang baru, yang dinamakan Pakatan Rakyat yang merangkumi parti-parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Malaysia (PAS), suatu lagi jenis kabinet bayangan ditubuhkan yang berbentuk “jawatankuasa-jawatankuasa parlimen” (parliamentary committees) yang mengandungi wakil-wakil daripada PKR, DAP dan PAS untuk memantau dan menyemak imbang perjalanan pentadbiran kerajaan BN.

Namum demikian, kabinet bayangan ala jawatankuasa-jawatankuasa parlimen ini tidak menunjukkan sebarang keberkesanannya di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya untuk memantau dan menyemak imbang kerajaan BN.

Ini adalah kerana kerajaan BN sehingga pada hari ini masih enggan mengiktiraf peranan dan institusi kabinet bayangan di negara kita ini. Oleh kerana tidak ada pengiktirafan sebagai sebuah institusi, kabinet bayangan tersebut terpaksa berfungsi secara tidak rasmi dan dengan sumber yang terhad kerana ketiadaan peruntukan (allocation and funding) serta bantuan untuk kajian dan penyelidikan (research assistance). Ada kala, ahli-ahli parlimen pembangkang ini terpaksa bergantung kepada sumbangan dan derma daripada orang ramai serta para penyokong parti untuk menampung kos dan perbelanjaan untuk tugas dan tanggungjawab harian mereka.

Oleh kerana kabinet bayangan ala jawatankuasa-jawatankuasa parlimen itu tidak begitu berkesan, ahli-ahli parlimen parti-parti PKR, DAP dan PAS terpaksa berbalik kepada haluan masing-masing sewaktu perdebatan dan perbincangan di dalam parlimen. Dengan itu, kabinet bayangan ala jawatankuasa-jawatankuasa parlimen tersebut seperti terbubar begitu sahaja setelah sekian lama tidak menunjukkan keberkesanannya.

Inisiatif Parti-Parti Pembangkang Sendiri

Kita semua telahpun mengetahui bahawa institusi kabinet bayangan tidak diiktiraf oleh kerajaan BN sehingga kini dan adalah agak mustahil sama sekali ahli-ahli parlimen parti pembangkang dapat berfungsi sebagai suatu institusi tersebut dengan ketiadaan sebarang peruntukan dan bantuan penyelidikan.

Akibat daripada itu, DAP telahpun mengambil inisiatifnya sendiri dengan membentuk satu barisan jurucakap-jurucakapnya sendiri mengikut portfolio-portfolio kementerian yang dipantau dan disemak imbang.

Selain daripada itu, DAP turut menyeru rakan-rakannya di dalam Pakatan Rakyat, PKR dan PAS untuk mengambil langkah-langkah yang sama dengan menggunakan sumber-sumber daripada parti masing-masing.

Kami rasa langkah pertama yang diambil oleh DAP itu menunjukkan kesungguhan parti pembangkang tersebut untuk melihat keberkesanan di dalam pemantauan dan penyemak imbangan mereka terhadap kerajaan BN berikutan berlakunya skandal-skandal, penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang telah menjadi semakin tidak terkawal lagi.

PKR dan PAS juga wajar mengikuti langkah tersebut kerana ianya dilihat positif dan akan juga membolehkan mereka menumpukan perhatian mereka terhadap isu-isu rakyat dan negara secara lebih teratur.

Sementara itu, PAS juga hendaklah segera memperbetulkan diri mereka dengan tidak asyik bertelingkah soal siapakah yang akan memerintah, dominasi parti mana dan juga mengurangkan kekerapan mereka membangkitkan isu-isu perkauman dan agama sebaliknya menfokuskan tugas dan tanggungjawab utama di dalam parlimen yang lebih bertumpu kepada perihal perundangan, pentadbiran, kewangan, kebajikan, ekonomi, pelaburan, perhubungan, keselamatan, sosial-ekonomi dan rakyat pada keseluruhannya di mana ianya tidak mengira agama, kaum ataupun warna kulit.

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits