PRM-PSM, nak tunggu apa lagi? Gabungan yang paling selari!

Sudahlah dengan karenah yang berlaku di antara Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sehingga kini masih belum nampak sebarang keberkesanan di dalam usaha mereka untuk mewujudkan satu bentuk barisan Sosialis yang baru untuk menggerakkan diri mereka sebagai kuasa ketiga dalam politik negara kita ini.

Ini menimbulkan tandatanya sama ada kedua-dua PRM dan PSM benar-benar serius di dalam menawarkan penyelesaian politik mereka secara Sosialis kepada rakyat jelata dan negara pada umumnya.

PSM yang sudahpun mengalami suatu bentuk permainan politik Pakatan Rakyat di mana parti tersebut dipermainkan dengan sebegitu sahaja di dalam isu perletakan calon untuk bertanding di dalam pilihanraya umum yang lalu (PRU13). Akibat daripada itu, pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim menjadi mangsa di dalam "sengketanya" dengan Pakatan dan juga pada masa yang sama Barisan Nasional (BN).

Apakah status dan kedudukan PSM sekarang di dalam permohonannya untuk menyertai Pakatan Rakyat? Belum ada sebarang jawapan, ataupun tidak akan ada sebarang jawapan langsung. Apakah para pemimpin PSM masih harapkan sehingga kini? Sudahlah para pemimpin Pakatan menyebut beberapa kali bahawa PSM berkemungkinan tidak akan dapat diterima oleh kerana logo Genggaman Tangan parti tersebut yang tidak dapat diterima oleh ramai di dalam Pakatan?

Jadi PSM, nak mengharapkan apa lagi. Setelah PSM dan Sosialisme teruk dibelasah dan asyik disamakan seperti pengganas komunis oleh kerajaan BN dan kini pula dipermain dan dipersendakan oleh para pemimpin Pakatan, ke mana arah tuju PSM sekarang? Kenapa PSM masih mengharapkan penerimaannya ke dalam Pakatan pada suatu hari nanti?

Mungkin di abad yang akan datang PSM akan masih berada di luar pakatan pembangkang tersebut. Terima lah hakikat bahawa PSM tidak dapat bersaing dengan gergasi-gergasi dalam Pakatan seperti PKR, DAP ataupun PAS, melainkan ketiga-tiga parti komponen Pakatan ini benar-benar berubah menjadi sekular sepenuhnya. DAP pula sudah pun songsang daripada ideologi kiri asalnya dan kini telah bertukar wajah menjadi sebuah parti elit yang sukar difahami oleh orang ramai sekarang.

Manakala di pihak PRM pula, apakah usaha-usaha yang terbaru atau terkini di amanatnya untuk merapatkan diri mereka dengan golongan-golongan kiri yang lain yang kini kebanyakan bergerak di bawah saluran NGO, seperti SAMM, Suaram, Aliran, CWI, JERIT dan sebagainya Nampaknya beberapa kumpulan NGO ini juga ada bezanya di dalam ideologi dan fahaman mereka walaupun beberapa bentuk tindakan mereka yang telah membuktika aliran kiri mereka.

Sekali lagi ingin kami tekankan, zaman kini adalah zaman yang melafazkan teknologi maklumat, pergerakan massa serta sifat-sifat para muda-mudi sekarang yang lebih mendampingi NGO daripada parti-parti politik, khususnya golongan-golongan pelajar dan mereka-mereka yang berumur di dalam lingkungan 20an.

Satu-satu cara PRM perlu lakukan di sini untuk merapatkan jurangnya adalah, berhubung secara terus dengan beberapa NGO tersebut, berhubung dan berurusan secara rasmi, hasilkan satu bentuk kerjasama ataupun gabungan yang serius agar PRM dapat diketengahkan di dalam arena-arena kemasyarakatan. Selain daripada itu, PRM juga perlu aktif di dalam usahanya membentuk lebih banyak kelab-kelab Sosialis di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS), kalau tidakpun sekurang-kurangnya kumpulan-kumpulan pengkaji (study group) boleh juga diwujudkan secara tidak rasmi di dalam IPTA dan IPTS..

PRM boleh menjadikan perlaksanaan ini sebagai titik permulaan untuk bangkit semula setelah tidak begitu aktif buat seketika akibat daripada perbuatan bekas presiden PRM Dr Syed Husin Ali yang cuba "membubarkan" parti tersebut untuk bergabung dengan PKR.

Sementara PSM menumpukan perhatiannya terhadap politik kenegaraan, PRM pula harus mengambil kesempatan untuk memainkan peranan yang lebih aktif di dalam mendapatkan perhatian golongan-golongan muda-mudi yang kini sekarang masih berada di atas pagar pada kebanyakannya, walaupun ramai di antara mereka yang menentang BN dan menyokong Pakatan tetapi mereka tidak pula berminat untuk menyertai PKR, DAP ataupun PAS.

Selain daripada itu, PRM sebagai sebuah parti yang masih belum mempunyai wakil-wakil rakyat di dalam parlimen dan DUN seharusnya memahami bahawa kedudukan yang tidak begitu "elit" itu adalah suatu rahmat bagi memudahkan parti tersebut untuk mendampingi rakyat jelata serta NGO-NGO.

Dan untuk itu, kedua-dua PRM dan PSM juga boleh menghasilkan satu gabungan baru yang masing-masing mempunyai peranannya yang unik seperti yang diperjelaskan di atas. Usah risau mengenai siapakah yang akan menjadi pemimpin gabungan Sosialis tersebut asalkan kerana soal tersebut adalah tidak begitu penting. Apa yang lebih perlu diketengahkan adalah ideologi Sosialisme yang telah diburuk-burukkan selama ini oleh pelbagai pihak.

Kami ingin menggesa PRM dan PSM, ketepikan segala-gala yang pahit di masa lampau. Kami tahu bagaimana PSM dibentuk dan kenapa PSRM berubah menjadi PRM, kemudiannya cuba pula diperam untuk menyertai PKR. Kedua-dua PRM dan PSM sudahpun melalui pelbagai peristiwa yang pahit ini dan diharapkan PRM dan PSM kembali sekali lagi untuk mengketengahkan semula Sosialisme ke dalam arena politik negara kitai ini.

Ini adalah peluang keemasan yang PRM dan PSM perlu lihat sebagai suatu kesempatan. Tidak semua bentuk peranan politik dapat dimainkan oleh kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat. Itulah PRM dan PSM perlu lihat dan menyelinap masuk.

PRM-PSM, nak tunggu apa lagi? Gabungan berdua ini adalah paling selari!

Popular posts from this blog

What has MCA done to the Chinese community in Malaysia?

Perlukah sesebuah gabungan parti politik kekal secara wajib?

Seek for quick success and instant benefits